Pengutip hutang disamun lelaki berparang

AMPANG JAYA – Seorang pengutip hutang berdepan detik cemas apabila disamun individu bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah kawasan perumahan di Pandan Perdana, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan menaiki sebuah motosikal dipercayai baru selesai mengutip hutang pelanggan sebelum dihampiri suspek yang tidak dikenali.
"Suspek bertindak agresif dengan merampas sebuah telefon bimbit milik mangsa sebelum melibas parang ke arahnya.
"Bagaimanapun mangsa berjaya mengelak daripada libasan senjata berkenaan dan melarikan diri untuk menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, suspek kemudiannya melarikan motosikal mangsa bersama beberapa barangan lain termasuk salinan pasport, buku hutang serta wang tunai berjumlah RM100.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya kemudian menahan seorang lelaki warga tempatan pada hari sama kira-kira jam 9.20 malam.
"Semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman selama empat hari sehingga 16 Januari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang perbuatan menyalahi undang-undang, selain segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang pengutip hutang disamun oleh individu bersenjatakan parang di Pandan Perdana
- Mangsa dihampiri oleh suspek yang tidak dikenali ketika menaiki motosikal selepas mengutip hutang
- Suspek merampas telefon bimbit dan cuba menyerang mangsa dengan parang
- Suspek berjaya melarikan motosikal mangsa, salinan pasport, buku hutang, dan wang tunai
- Polis menahan seorang lelaki tempatan dengan rekod jenayah lampau yang terlibat dalam kes samun ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

