Lelaki 'amuk' rosakkan harta penduduk ditahan

Tangkap layar dari video tular kelihatan seorang lelaki mengamuk dengan merosakkan harta benda penduduk.
Tangkap layar dari video tular kelihatan seorang lelaki mengamuk dengan merosakkan harta benda penduduk.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki bertindak agresif dengan mengamuk dan merosakkan harta milik penduduk dalam kejadian di Taman Ria di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, perbuatan lelaki terbabit pada mulanya dikesan melalui hantaran video dibuat orang ramai di media sosial.

Menurutnya, lelaki terbabit berjaya ditahan lebih kurang jam 11.30 pagi di sekitar perumahan berkenaan.

"Terkesan di media sosial pada jam 10.50 pagi (kejadian mengamuk) kemudian satu laporan polis dibuat oleh anggota selepas menerima aduan dari media sosial. Susulan itu, tindakan awal dibuat bagi menahan lelaki tersebut.

"Setakat ini, saya masih membuat semakan sama ada sudah menerima laporan dari mangsa berhubung kejadian," katanya ketika dihubungi.

Menerusi satu video tular, seorang lelaki disyaki menggunakan senjata telah mengamuk dan bertindak agresif merosakkan harta penduduk termasuk pasu bunga dan cermin kenderaan yang di parkir di hadapan rumah penduduk.

Namun, video berkenaan dipercayai telah dipadam.

Menurut Hanyan, semasa tangkapan, suspek sedikit agresif, masih berpakaian sama seperti dalam video, berseluar pendek tanpa berbaju.

"Masa tangkapan tiada senjata ditemui, kita masih menyiasat pelbagai aspek termasuk dakwaan mengatakan lelaki itu berdepan masalah mental," katanya.

Semakan mendapati, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes samun, pecah rumah, khianat, curi dan penyalahgunaan dadah.

"Bagaimanapun setakat ini, keputusan urin suspek masih belum diperolehi dan kita juga menyiasat sama ada tindakan dibuat mempunyai kaitan akibat pengaruh dadah ataupun tidak," katanya.

Hanyan turut meminta mana-mana mangsa terlibat supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki agresif merosakkan harta penduduk di Taman Ria Sungai Petani
  • Tindakannya menjadi tular melalui video di media sosial
  • Lelaki itu ditahan oleh polis jam 11.30 pagi
  • Suspek mempunyai rekod lampau kesalahan termasuk samun dan penyalahgunaan dadah
  • Polis menyiasat kemungkinan tindakan suspek dipengaruhi masalah mental atau dadah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!