SUHU politik di Cameron Highlands yang terkenal sebagai pusat pelancongan tanah tinggi yang sejuk, menjadi panas seketika akibat perebutan kerusi antara parti komponen BN, myPPP dengan MIC.

Kerusi itu kini diwakili bekas Presiden MIC, Datuk G Palanivel. Bukan menjadi rahsia lagi apabila Presiden myPPP Tan Sri M Kayveas melobi kerusi Parlimen tersebut, sebaliknya  Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam bertegas bahawa parti itu akan meletakkan calon mempertahankan Cameron Highlands pada PRU14.

Calon yang disebut-sebut ialah Ketua Pemuda MIC, Datuk C Sivarraajh yang kini bertindak sebagai Penyelaras Parlimen Cameron Highlands. Malah Ketua Umno Cameron Highlands, Wan Rosdy Wan Ismail turut bersetuju jika Sivarraajh dicalonkan di kawasan itu yang memenuhi kriteria winnable (boleh menang) dan likeable (disukai). Sinar Harian berkesempatan bertemu dengan Sivarraajh mengenai peluangnya di Cameron Highlands.

Bagaimana peluang MIC di kerusi Parlimen Cameron Highlands?

Kerusi Parlimen Cameron Highlands dimenangi Datuk Seri G Palanivel pada PRU13 yang lalu. Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pernah beritahu kerusi ini perlu dikekalkan untuk MIC.

Justeru, saya rasa menjadi tanggungjawab kami untuk meneruskan tugas dan perkhidmatan kepada masyarakat di sini. Berdasarkan kapasiti itu saya berada di sini untuk berjumpa dengan semua penduduk khususnya masyarakat akar umbi bagi mengetahui keperluan, masalah, cabaran yang dilalui mereka.

Setiap minggu juga saya akan berjalan kaki untuk mengambil pengalaman sendiri bagaimana kesesakan jalan raya di sini memberi kesan kepada penduduk, peniaga kecil, pekebun pengusaha hotel dan sebagainya.

Sebagai Penyelaras Parlimen P078 saya komited melaksanakan tanggungjawab dan membantu menyelesaikan isu-isu di peringkat akar umbi.

Apakah usaha yang telah dilakukan untuk memastikan kerusi ini terus menjadi milik BN?

Sebelum ini saya  bekas panel pemikir Jasa dan memiliki sedikit pengalaman berkaitan analisis, kajian tentang sentimen serta trend pengundi. Berdasarkan analisis yang saya buat dengan bantuan rakan-rakan dari parti BN serta agensi berkaitan saya dapati terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi trend pengundi pada PRU13.

Bukan kerana masyarakat di sini tidak suka  BN dan calon yang bertanding tetapi ada elemen lain termasuk sabotaj yang menjadi faktor besar selain daripada calon bebas itu sendiri.

Salah satu kekuatan di sini ialah kekerapan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob turun ke daerah ini menjadi satu kelebihan kepada kita untuk memastikan sistem tempatan bekerja dengan lebih baik serta efisien. Saya percaya ini merupakan satu kelebihan kepada kita supaya boleh memenangi PRU14 dengan majoriti yang lebih besar.

Jika dahulu kita lakukan gerak kerja secara umum, tetapi sekarang kita fokus kepada pengurusan mikro iaitu mendekati pengundi dengan lebih telus, menerima kritikan dan pada masa yang sama mencari punca kenapa mereka melemparkan kritikan itu.

Saya lihat sekarang pun ramai telah kembali kepada BN dan ada antara mereka mengatakan telah ‘diracun’ pada PRU yang lepas untuk mengubah kerajaan. Pembangkang di sini datang bermusim terutama ketika menjelang PRU dan mereka ini menjanjikan pelbagai perkara kepada pengundi.

Selepas PRU mereka akan hilang dan janji hanya tinggal janji. Rasanya sudah dua penggal  pengundi di sini telah ditipu jadi masuk kali ketiga ini  mereka (pengundi) tidak lagi mahu terpedaya dengan janji pembangkang.

Saya percaya gandingan kekuatan jentera parti di antara Umno, MIC, MCA dan Gerakan di Dun Tanah Rata serta Jelai kita dapat pengundi majoriti dengan lebih baik.

Bagaimana usaha yang dilakukan untuk menarik lebih ramai pengundi khususnya golongan muda untuk bersama dengan BN?

Kita telah melaksanakan pendaftaran pengundi dan mengikut rekod, ada peningkatan lebih 3,000 pengundi baharu. Saya yakin mereka merupakan pengundi matang yang dapat menilai mana yang betul dan salah, mana yang bekerja atau sekadar bercakap retorik sahaja.

Dalam masa yang sama saya juga menggunakan sosial media secara aktif kerana majoriti masyarakat tidak kira yang muda atau dewasa memiliki laman Facebook serta aplikasi WhatsApp.

Selain itu, sentuhan di peringkat akar umbi buat masyarakat Orang Asli di kawasan ini akan terus dilakukan. Saya berusaha untuk mengenali dengan lebih dekat  Tok Batin di setiap kampung. Kebajikan masyarakat minoriti ini harus dijaga.

Orang Asli sekarang bukan macam kita lihat 10 tahun lalu yang mana sekarang  mereka lebih moden, ada telefon pintar, ada WhatsApp, baca berita dan sebagainya.

Justeru, kita kena layan mereka sama rata seperti orang lain dan pastikan semua  peluang yang patut diberikan termasuk peruntukan, ruang kerja, perkhidmatan, pembangunan infrastruktur, perumahan dan sebagainya sampai kepada mereka.