Pas wajib tanding kerusi Gombak Setia pilihan raya akan datang - Pemuda Pas Selangor

SHAH ALAM - Kemelut yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas seakan belum menemui titik nokhtah apabila pemimpin kedua-dua parti berkenaan saling berbalas kenyataan.
Terbaharu, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berpandangan partinya wajar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.
Kerusi berkenaan ketika ini disandang Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham.
“Pandangan saya, Pas wajib bertanding Gombak Setia pada pilihan raya akan datang. Insya-ALLAH Pemuda Pas Selangor siap siaga membantu.
“PAS mempunyai ramai calon berintegriti serta berakhlak untuk di ketengahkan. Are you readyyyyy? (Adakah anda bersedia?),” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Muhammad Hilman pada Ahad dilaporkan meminta semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) diberikan ruang untuk membuat ketetapan masing-masing terlebih dahulu sebelum keputusan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan.
Ia susulan Presiden Pas merangkap Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengusulkan supaya dipanggil segera mesyuarat tergempar MT PN bagi menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pengerusi gabungan, termasuk pelantikan baharu jawatan itu.
Pada Pilihan Raya Negeri Selangor (PRN) lalu, Muhammad Hilman memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti tipis 58 undi.
Beliau yang memperoleh 30,299 undi menewaskan dua lagi calon lain iaitu Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN) dan Mohamed Salim Mohamed Ali (bebas).
Ringkasan AI
- Kemelut antara Bersatu dan Pas masih berterusan
- Ketua Pemuda Pas Selangor berpendapat Pas harus bertanding di kerusi DUN Gombak Setia
- Kerusi Gombak Setia kini dipegang oleh Muhammad Hilman Idham
- Muhammad Hilman sebelumnya meminta komponen Perikatan Nasional mempunyai masa untuk membuat keputusan sebelum disahkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi
- Muhammad Hilman memenangi kerusi Gombak Setia pada PRN lalu dengan majoriti 58 undi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

