KUALA LUMPUR - Puteri Umno hari ini memberi anugerah khas kepada tiga bekas pemimpinnya sebagai menghargai jasa mereka meneraju dan merintis kecemerlangan pergerakan itu.
   
Anugerah disampaikan oleh Ketuanya yang baharu dipilih Mas Ermieyati Samsudin kepada Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika perhimpunan agung sayap itu di sini.
   
Azalina yang kini Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno merupakan pemimpin yang bertanggungjawab dalam penubuhan sayap bongsu Umno itu dan meneraju pergerakan berkenaan dari 2001 hingga 2004 sebagai ketua Puteri Umno yang pertama.
   
Teraju Puteri kemudian diambil alih oleh Noraini yang kini Exco Wanita Umno. Beliau memimpin sayap itu bagi tempoh 2004 hingga 2008.
   
Tempat beliau diganti oleh Rosnah yang memimpin Puteri Umno sehingga penggalnya berakhir pada Oktober lepas.
   
Rosnah kini Anggota MT dan Exco Wanita Umno.  - Bernama