• Rafizi Ramli Rafizi Ramli
1 /

SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mempersoalkan pemberian rebet telefon mudah alih pintar 3G hanya kepada model RM500 ke bawah kerana dipercayai syarat itu cuba menguntungkan pihak tertentu dengan melariskan stok lama.

Katanya, lebih malang lagi apabila pelaksanaan skim itu dilihat berat sebelah apabila belia yang layak perlu membuat pembelian tersebut daripada pengedar telefon bimbit yang dilantik sahaja.

"Hanya pengedar dilantik sahaja diberikan rebat ini, maka model yang lama dalam simpanan mereka akan dikeluarkan semula dan ini akan menguntungkan mereka.

"Sudah tentu model lama itu nanti tidak mampu membantu golongan muda mendapat capaian 3G dan internet yang dikehendaki pada masa ini," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Mengulas lanjut, pelaksanaan rebat RM200 disifatkan sebagai tidak relevan kerana harga telefon bimbit lebih rendah berbanding kos perkhidmatan 3G dan internet yang terpaksa ditanggung pengguna, lebih-lebih lagi menggunakan prabayar.

"Bukan telefon pintar yang penting tetapi perkhidmatan 3G internet itu lebih mustahak, walaupun harganya murah namun anak muda yang guna prabayar terpaksa membayar lebih untuk guna perkhidmatan itu.

"Sebab itu, kita Pakatan Rakyat berpandangan peruntukan rebat itu lebih wajar dibelanjakan dalam penyediaan internet tanpa talian di seluruh negara khusus kawasan tumpuan orang muda," tegasnya.

Dalam pada itu, Rafizi juga mempersoalkan permohonan rebat ini terhad kepada 1.5 juta anak muda walhal tegasnya jumlahnya di seluruh negara mengatasi angka tersebut.

"Saya kira jumlah itu tak masuk akal malah mengapa perlu dihadkan kalau benar-benar ikhlas nak bantu golongan muda menggunakan perkhidmatan internet dan 3G.

"Saya anggarakan jumlah mahasiswa saja sudah lebih 500,000 orang, ini tidak termasuk anak muda yang bekerja dan mereka yang tidak bekerja," jelasnya.

Pemberian rebat telefon pintar RM200 telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2013 pada September lalu.