PKR mahu laporan kimia bukti dakwat kekal tahan lama

Kah Hing (kiri) bersama calon Dun Teja, Chang Lih Kang (kanan) dan Boon Chye menunjukkan gambar dakwat kekal.
A
A

GOPENG – PKR Perak masih sangsi dengan keberkesanan dakwat kekal yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti terutama bagi hari pengundian awal 30 April ini. Timbalan Setiausaha PKR negeri, Tan Kah Hing berkata, mereka mahukan satu laporan kimia atau hitam putih membuktikan dakwat kekal itu mampu bertahan lebih dari lima hari. “Kami mahukan satu laporan yang pasti kerana ia penting untuk mengelakkan pengundi awal mengundi buat kali kedua pada 5 Mei nanti. “Dari tarikh pengundian awal iaitu 30 April hingga hari mengundi adalah enam hari, jadi tidak mustahil dakwat yang digunakan itu telah hilang atau pudar warnanya,” katanya pada sidang media, di sini. Beliau yang juga calon Dun Simpang Pulai berkata, isu berkenaan kritikal dan bukan hanya dikemukakan oleh PKR malah Pakatan Rakyat (PR) seluruh Malaysia juga mempunyai pendapat sama. Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengeluarkan laporan kimia secara bertulis sebagai bukti dakwat kekal itu boleh tahan lebih dari lima hari. Dalam sidang media yang sama, calon Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye turut mengulas tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengeluarkan surat dalam tempoh 48 jam sebelum penamaan calon kepada DAP mendakwa ia sebagai satu tindakan berbaur politik bagi menghalang DAP daripada bertanding. Boon Chye berkata, insiden berkenaan adalah ujian terbesar bagi PR dan ia juga membuktikan kepada seluruh rakyat bahawa PR boleh bekerjasama serta bersedia memberikan mana-mana lambang untuk DAP bertanding sekiranya mereka tidak dibenarkan menggunakan logo roket. “Ini satu langkah yang besar dalam usaha membawa PR ke Putrajaya,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×