KUALA TERENGGANU – Usul dibawa Pas Kawasan Kuala Terengganu bagi mendesak Pas Pusat memutuskan kerjasama politik dengan PKR disifatkan sebagai usaha menggagalkan usaha pembangkang menggantikan BN pada PRU14.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, pembangkang termasuk Pas tidak sepatutnya menzahirkan perkara yang boleh menampakkan kelemahan atau perpecahan sesama parti memandangkan keadaan ketika ini sangat genting dalam keadaan negara bakal berhadapan pilihan raya.

Menurutnya, pembangkang termasuk Pas sepatutnya perlu memberi tumpuan menumbangkan kerajaan BN dengan menyusun strategi memperkuatkan pembangkang.

“Kalau perkara itu (usul) datang daripada ahli Pas, pemimpin Pas, saya anggap itu dalaman mereka. Terpulang! Saya nasihatkan bahawa ini adalah masa memperkukuh susun atur dan sebagainya untuk tujuan tawan Malaysia yang perlu dilakukan oleh pembangkang.

“Cara tawan bukan tunjuk kita bergaduh, berpecah belah. Itu formula kelemahan bukan kekuatan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Azan yang juga Adun Bandar berkata demikian sebagai mengulas mengenai Pas Kawasan Kuala Terengganu mendesak Pas Pusat memutuskan kerjasama politik atau tahalluf siyasi dengan PKR.

Perkara itu yang diusulkan Pas Cawangan Kampung Padang dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kuala Terengganu Kali Ke-42 di Markaz Tarbiyyah Pas Kuala Terengganu, di sini, Sabtu lalu.

Azan berkata, pihaknya tidak emosi dengan tindak-tanduk Pas Kawasan Kuala Terengganu yang membawa usul tersebut.

Apa yang penting katanya, pihaknya sedang menyusun strategi ke arah memantapkan pembangkang sambil meminta pemimpin Pas memikirkan kaedah sama menguatkan pembangkang bagi menggantikan BN di negeri ini bukan membawa isu yang melemahkan keyakinan rakyat menyokong pihak terlibat.

“Kita harap pemimpin Pas berfikir. Kita tidak mahu masuk campur tetapi saya harap parti yang lama bertapak di Terengganu matang dan cukup menilai macam mana untuk menang di Terengganu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menganggap usul tersebut menunjukkan kemungkinan terdapat percanggahan pendapat dalam kalangan ahli Pas yang cukup bijak menilai bahawa usaha menjatuhkan BN tidak boleh dilakukan secara sendirian.

Jelasnya, dalam keadaan negara bakal berhadapan pilihan raya, sudah tentu pembangkang perlu meletakkan keutamaan untuk memastikan kekalahan BN.

“Tetapi kalau kita letak prioriti kita untuk berpecah, kita sebenarnya beritahu pengundi yang pembangkang belum sedia. Kalau pembangkang belum sedia, bermaksud memberitahu pembangkang tidak sedia jadi kerajaan.

“Amat malang dan sedih kepada rakyat Terengganu yang berharap ada perubahan sebaliknya pembangkang meraikan untuk tidak memantapkan dalaman sesama sendiri,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (Harapan) hari ini melancarkan pek Do-It- Yourself (DIY) iaitu satu aplikasi kempen pilihan raya.
  • PASIR MAS - PRU14 boleh disifatkan sebagai perjuangan DAP menentang BN memandang parti cauvinis Cina itu dilihat lebih mendominasi Pakatan Harapan.
  • MARANG - Pas Terengganu mengulangi pendirian parti itu untuk bertanding di semua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi di Dun negeri Terengganu pada PRU14 tidak lama lagi.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tarikh PRU14, akan diadakan bila-bila masa sahaja daripada sekarang.
  • KUALA LUMPUR - Demi memastikan survival perjuangan Umno akan kekal relevan, semua ahli Umno perlu memahat tiga azimat bagi memenangi PRU14.