• Najib Tun Razak - AGM Umno Najib Tun Razak mengetengahkan soalan cepumas ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Umno semalam. - Foto Sinar Harian
1 /

SHAH ALAM - Budaya lama Umno yang masih memikirkan habuan dan imbuhan yang bakal terlepas sekiranya tidak dipilih menjadi calon pilihan raya merupakan salah satu punca kepada perbuatan sabotaj yang berlaku dalam sesebuah parti.

Hal ini, menurut Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Dr Yusof Muhammad, masih berlaku dalam Umno - yang menjadi kerisauan Presidennya, Datuk Seri Najib Razak - masih berlaku dan terbukti berdasarkan pengalamannya sendiri.

"Masalah sekarang, ketua-ketua bahagian hendak bertanding. Kalau tak diberi tempat dia sabotaj... saya pun aktif di bahagian, bila sabotaj ini, jentera tak akan turun habis.

"Bila jadi ahli jawatankuasa bahagian ini, mereka fikir hendak dapat projek, jadi bila tidak dipilih ini, bila ramai-ramai ni (masa perhimpunan agung) semangatlah, tapi bila balik mula terfikir, apa yang saya dapat?" katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini.

Semalam Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata, Barisan Nasional (BN) akan memperoleh kemenangan kerusi dua pertiga jika ahli Umno sendiri tidak sabotaj terhadap parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Saya percaya bahawa musuh tidak kuat, saya percaya bahawa orang ramai akan memihak kepada Umno dan Barisan Nasional, yang saya khuatir, sikit... apa itu?" katanya.

Kemudian sambung Najib "Sikit yang dikhuatiri itu, yang saya khuatir, soal kita, kita sesama kita (dalam parti)."

Najib kemudian mengemukakan satu soalan cepumas kepada ahli-ahli Umno menjelang pilihan raya yang paling genting ini.

Mengulas lanjut, Yusof berkata, budaya lama Umno ini perlu diperangi sekuat mungkin apatah lagi masa sudah suntuk kini.

"Jangan bagi amaran sahaja, jika ada bukti terus sahaja pecat. Kalau bagi amaran sahaja tak akan jadi apa dalam keadaan kita hendak berperang sekarang," katanya sambil menambah, "kalau tak ada sabotaj, insya-ALLAH, mudah untuk Umno-BN menang dengan majoriti."

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh ahli Umno mengambil iktibar daripada kejatuhan kerajaan-kerajaan terdahulu dan semangat juang di zaman Rasulullah s.a.w, di mana tidak semestinya ketua yang akan mengetuai bala tentera di dalam sesebuah perperangan seperti dalam kisah Khalid al Walid.

Meski dilucutkan kuasa, namun terus berjuang atas nama Islam.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, perkara paling penting kini ialah kebijaksanaan pemimpin tertinggi untuk meletakkan siapa 'winnable candidate' itu bagi mengelakkan daripada berlakunya sabotaj.

"Kalau kita lihat zaman (bekas Presiden Umno dan Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) dulu beliau amat bijak meletakkan calon, walaupun beliau meletakkan calon yang tidak dikenali di kawasan itu, beliau berjaya meyakinkan di peringkat bahagian. Ketua bahagian diberikan peranan lain," ujar beliau.

Mengakui tidak ada mana-mana parti yang seratus peratus sempurna, Shamsul berkata, penerapan budaya politik dalam Umno yang berubah mengikut peredaran zaman adalah resepi Umno kejayaan parti itu yang harus dikekalkan.

"Mengurus sebuah parti dengan keahlian lebih tiga juta, di mana-mana bahagian dalam dunia ini akan mengalami masalah tetapi Umno sehingga kini mampu mengendalikannnya.

"Jika budaya (mengutamakan parti) dapat dikekalkan, itulah sebenarnya transformasi baru dalam parti itu sendiri untuk  bergerak ke hadapan. Kepentingan diri menjadi nombor dua dan parti diutamakan," kata Shamsul.

Beliau mengambil contoh bagaimana peralihan kuasa berlaku dari zaman Dr Mahathir kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi dan seterusnya kepada Najib.

Ditanya mengenai keyakinan Najib bahawa Umno-Barisan Nasional akan menang majoriti dua pertiga dalam PRU13 nanti, Shamsul berkata, "jika tidak ada sabotaj, Umno-BN akan memperoleh kemenangan berganda."