SHAH ALAM – Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berharap parti itu menimbang semula keputusan untuk tidak menyertai Pakatan Harapan.

Ini kerana menurutnya, dengan adanya Bersatu dalam gabungan itu, Pas umpama sedang melepaskan peluang keemasan untuk memposisikan kedudukannya dalam arena politik negara.

“Kini Bersatu sudah berjaya menarik sokongan ahli-ahli Umno untuk menyokong mereka. Sekiranya Pas berada dalam Pakatan (Harapan), Bersatu mampu mempengaruhi ahli-ahli Umno yang sudah ditarik sokongannya untuk menyokong Pas pula.

“Tetapi bila Pas tidak menyertai Pakatan Harapan, Pas telah melepaskan peluang untuk meraih undi sokongan daripada bekas ahli Umno,” katanya menerusi video pendek yang dikirimkan beliau kepada Sinar Online.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rundingan kerjasama dengan Bersatu sudah berakhir: Hadi]

Menurutnya lagi, ahli Umno yang masih berada dalam parti itu sukar untuk memberikan sokongan kepada Pas kerana mereka terlalu ‘hard core’ (terlalu setia) dengan Umno.

“Kecuali kalau mereka memilih untuk kerjasama dengan Umno, barulah mereka boleh berfungsi.

“Bagi saya, ini adalah peluang yang terbaik untuk Pas. Elakkan tertinggal atau terpinggir daripada membawa perubahan,” katanya lagi.

Pas sebelum ini menegaskan pendirian untuk tidak menyertai Pakatan Harapan.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, ia kerana DAP dan Amanah berada dalam gabungan parti pembangkang itu.

Parti itu kemudiannya dikatakan akan membincangkan mengenai kerjasama dengan parti lain pada Muktamar Tahunan kali ke-63.

Dalam perkembangan terkini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan undingan kerjasama politik antara parti itu dan Bersatu berakhir sebaik sahaja parti yang dinaungi Tun Dr Mahathir Mohamad itu secara rasmi menyertai Pakatan Harapan.

"Secara rasmi tiada kerjasama, kalau itulah rasminya Bersatu (menyertai Pakatan Harapan)," katanya pada sidang medianya selepas menghadiri Konvensyen Profesional Malaysia, di sini hari ini.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan yakin konsep dan prinsip penyatuan merupakan elemen penting kepada kelangsungan survival politik Melayu dan Islam.
  • BALING - Pas menyifatkan Pas dan Umno bukannya 'keli dan sembilang' yang tidak boleh disatukan dalam mendaulatkan sebuah kerajaan Islam.
  • SHAH ALAM - Kepimpinan tertinggi Pas hari ini terus berdepan cabaran bukan hanya daripada luar tetapi juga dalam kalangan ahlinya sendiri.
  • BALING - Pas menyifatkan Amanah bukan lawan mereka dalam arena politik tanah air, tegas Naib Presidennya, Idris Ahmad.
  • KUALA LUMPUR - Pemuda Pas menafikan bahawa parti itu semakin 'membisu' dalam mendepani isu-isu melibatkan kepentingan rakyat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.