MELAKA - Parti Amanah Negara (PAN) menjangkakan lebih 100,000 orang termasuk anggota Pas akan menyertai parti itu menjelang hujung tahun ini.
 
Presiden PAN Mohamad Sabu berkata sehingga kini PAN menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur daripada pelbagai pelbagai parti politik di negara ini. 
 
"Kita telah mengedarkan borang keahlian PAN di seluruh negara dan menjangkakan bilangannya akan meningkat sehingga akhir tahun ini.
 
"Pada hari ini PAN telah menerima borang keahlian sebanyak 500 melibatkan penduduk Melaka termasuk anggota Pas. 
 
"Di Johor PAN menerima 5,000 borang keahlian manakala di Kedah sebanyak 2,721 borang keahlian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran PAN Melaka di sini, hari ini. 
 
Turut hadir Pengerusi PAN Melaka Adly Zahari dan Anggota Dewan Undangan Negeri Duyong dari DAP, Goh Leong San yang juga bekas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka. 
 
Mohamad Sabu berkata PAN Melaka akan bergerak sebagai sebuah parti politik bermula hari ini dan terus bekerjasama dengan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong parti itu. 
 
Beliau berkata PAN juga bersedia bekerjasama dan menjalin hubungan baik dengan Pas dalam sesuatu isu sekiranya perlu. 
 
Mengulas tentang anggota Pas iaitu bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan anggota Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar memilih untuk yang menyertai PKR, katanya ia tidak memberi kesan kepada PAN kerana mereka masih anggota Pakatan Rakyat. 
 
"Tidak apalah...asalkan mereka berada dalam Pakatan Rakyat..barangkali mereka ada pandangan masing-masing..saya mengalu-alukan mereka menyertai PKR," katanya. - Bernama