GEORGETOWN - Hasrat pembubaran Parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita) didakwa ada kena mengena dengan penawaran terhadap presiden parti itu, Datuk Zaid Ibrahim dalam pertandingan di Parlimen Kota Bharu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng berkata, Zaid dikatakan berhasrat untuk membubarkan parti itu apabila dipercayai ditawarkan untuk bertanding atas tiket Pas pada pilihanraya umun akan datang.

“Zaid ada agenda peribadi untuk menutup Kita yang mana disebabkan tawaran itu, Zaid mahu membubarkan parti supaya dapat bertanding lebih bebas di bawah Pas selain mengelak imej buruk sekiranya beliau keluar Kita nanti. Perkara ini sedang hangat diperkatakan di kalangan pemimpin dan ahli Kita sejak Jumaat lalu,” katanya kepada media semalam.

Kelmarin, Tee Beng dan Pengerusi Kita Kedah, Zamil Ibrahim dipecat berkuatkuasa serta-merta kerana didakwa membuat kenyataan yang menjejaskan parti itu.

Menjawab soalan media sama ada beliau akan membuat rayuan berhubung perkara itu, Tee Beng berkata, beliau tidak akan membuat rayuan kepada kepimpinan tertinggi Kita berikutan mendakwa pemecatan itu tidak sah jika mengikut peraturan parti.

“Saya tidak akan membuat rayuan, malah saya mencabar Zaid supaya membuat kenyataan secara terbuka bahawa pembubaran Kita bertujuan menyelamatkan semua pihak dan dirinya tidak akan menjadi calon untuk bertanding pada pilihan raya umum kelak. Jika beliau (Zaid) berani berbuat demikian, saya akan meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen.

“Saya juga difahamkan bahawa beliau ditawarkan oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu untuk bertanding di Kota Bharu untuk Pas pada pilihan raya umum nanti. Saya percaya, dengan alasan itulah beliau berhasrat untuk membubarkan parti,” katanya.

Terdahulu, Zaid mengumumkan akan membubarkan Kita menerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang bakal diadakan tidak lama lagi. Pembubaran itu dianggapnya wajar bagi menghapuskan keraguan bahawa Kita tidak memihak kepada pembangkang.