SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menafikan dakwaan kerajaan negeri membayar tuntutan elaun dan sebagainya berjumlah RM15 juta kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Penasihat Ekonomi negeri.

"Perkara itu tidak betul," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Arfaa' Eza Abdul Aziz ketika dihubungi Bernama, turut menegaskan dakwaan tersebut palsu dan Abdul Khalid tidak pernah membuat sebarang kenyataan dan ulasan mengenai tuntutan berkenaan.

"Pejabat Menteri Besar sendiri tidak pernah keluarkan kenyataan mengenai tuntutan Anwar dan saya berasa hairan bagaimana isu itu boleh timbul malah mendakwa pula ia disiarkan di laman web rasmi kerajaan negeri sedangkan itu tidak benar.

"Saya telah membuat semakan dan tiada berita sedemikian disiarkan namun tidak menolak ini permainan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengeruhkan keadaan sedia ada," katanya.

Beberapa laman blog baru-baru ini melaporkan Anwar didakwa membuat tuntutan kira-kira RM15 juta tahun lalu membabitkan tuntutan elaun pejabat, perjalanan ke luar negara dan  perbelanjaan makan serta minum. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Yayasan Hak Asasi Manusia (HRF) telah mengemukakan surat terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bagi menggesa pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • SHAH ALAM - Calon penyandang jawatan perdana menteri hanya akan diputuskan menerusi persetujuan Pakatan Harapan sekiranya pembangkang berjaya menewaskan kerajaan sedia ada pada PRU akan datang.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.