KUALA LUMPUR - Walaupun dikaitkan dengan persepsi kurang menyenangkan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ternyata berjaya menongkah arus untuk terus mengekalkan kerusi naib presiden Umno.

Pelbagai prasangka buruk yang menyentuh aspek kepimpinannya yang dikatakan kurang tegas dilemparkan akhir-akhir ini, namun perwakilan dilihat tidak termakan dengan perkara itu semasa pemilihan parti semalam.

Beliau mendapat 100 undi untuk terus bergandingan dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendapat 185 undi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (174 undi) untuk penggal 2013-2016.

Penglibatan anggota Parlimen Sembrong tiga penggal berturut-turut itu dalam politik bermula apabila beliau menyertai Umno cawangan Sungai Mati, Johor pada tahun 1989 sebaik tamat pengajian.

Beliau bermula dari peringkat bawah dengan pernah menjadi Ketua Pemuda Bahagian Ledang pada 1993, Ketua Pemuda Bahagian Tenggara (1995) dan anggota jawatankuasa Pemuda pusat bagi penggal 1993-1996.

Kemudian beliau dipilih Ketua Pemuda Umno Johor untuk penggal 1995/1996 dan Naib Ketua Pemuda Umno Pusat bagi penggal 1996-1998, sebelum memangku jawatan Ketua Pemuda Umno pusat pada 1998.

Pada pemilihan parti 2004, Hishammuddin menang jawatan Ketua Pemuda Umno pusat tanpa bertanding sebelum menang kerusi naib presiden Umno pada pemilihan 2009.

Kariernya di dalam pentadbiran kerajaan pusat bermula pada 1995 apabila dilantik Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau juga menjadi Timbalan Menteri Perusahaan Utama pada 1997, Menteri Belia dan Sukan (1999), Menteri Pelajaran (2004-2009) dan seterusnya Menteri Dalam Negeri pada tahun 2009 sebelum dilantik Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan selepas pilihan raya umum ke-13 Mei tahun ini.

Hishammuddin yang lahir pada 5 Ogos 1961 di Kuala Lumpur, mendirikan rumah tangga dengan Tengku Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah pada 1986 dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Nasha Alyssa, Farris Hussein, Kyra Arianna dan Fahd Hussein.

Anak kepada Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ke-3 dan cucu kepada Datuk Onn Jaafar, pengasas Umno, Hishammuddin mendapat pendidikan awal di Sekolah St John's Kuala Lumpur, Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Cheltenhem Boys College di United Kingdom.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di University of Wales, United Kingdom sebelum meneruskan ke peringkat ijazah Sarjana Undang-Undang di London School of Economics, United Kingdom.

Selepas tamat pengajian, beliau memulakan karier pertamanya sebagai peguam. - Bernama