BATU PAHAT - Seramai 13 calon daripada pelbagai latar belakang akan menjadi taruhan Amanah negeri untuk mewakili Pakatan Harapan (Harapan) sebagai memberi saingan hebat dalam PRU14 yang dijangka diadakan pada 9 Mei ini.

Pengerusi Amanah negeri, Aminolhuda Hassan berkata, mereka terdiri daripada 12 calon kerusi Dun dan dua calon kerusi Parlimen.

Menurutnya, senarai akhir calon yang bertanding itu sudah mendapat restu daripada Amanah peringkat pusat pada 7 April lalu.

“Kesemua calon itu juga telah diberikan nasihat guaman mengenai proses pilihan raya termasuk pengisian borang dan penamaan calon seperti dikehendaki SPR semalam.

“Kami juga sudah mengadakan pertemuan pada pagi ini untuk membincangkan gerak kerja. “Kami berjanji untuk meyakinkan dan menyatakan kesediaan menjadi calon di samping bertanggungjawab secara penuh kepada parti dengan semua pimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang  media khas tentang pengumuman calon Amanah Johor untuk PRU14, di sini hari ini. 

Aminolhuda yang juga penyandang kerusi Dun Parit Yaani berkata, dua kerusi parlimen yang ditandingi Amanah di Johor iaitu Pulai yang mana akan ditandingi oleh Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dan Parit Sulong oleh Ketua Wanita Muda Amanah Nasional, Anis Afida Mohd Azli.

“Manakala Setiausaha organisasi Suhaizan Kaiat merangkap Naib Ketua Amanah Johor akan bertanding di Dun Kukup, saya bertanding di tempat yang sama iaitu Dun Parit Yaani, Timbalan Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad bertanding di Kota Iskandar iaitu nama baru menggantikan Nusajaya.

“Naib Ketua Amanah Johor, Dr Sulaiman Mohd Nor bertanding di Dun Kemelah;  Setiausaha Amanah Johor, Ir Khairuddin A Rahim pula bertanding di Dun Senggarang; Ketua Pemuda, Taqiuddin Cheman di Dun Pulai Sebatang dan Naib Ketua Wanita Amanah Negara (Awan), Nasional, Nor Hayati Bachok di Dun Maharani  “Selain itu, jawatankuasa di peringkat negeri, Abrary Ramly di Dun Pasir Raja;  Ahmad Kamal Nor di Dun Penawar, Muhamad Said Jonit di Dun Mahkota, Ir Dr Faizul Amri Adnan di Dun Serom,” katanya.

Sementara itu, Salahuddin yakin dengan pasukan Harapan Johor yang profesional dan berintegriti boleh diberikan kepercayaan untuk mengurus tadbir negeri ini.

“Apa yang penting sekali kami sudah menapis semua calon lebih awal supaya kita tidak mahu mengulangi team rasuah Johor apabila exco terbabit dengan rasuah.

Jadi pasukan khusus daripada Amanah ini kita sudah ambil tanggungjawab kerana kita mahu melawan.

“Kami tampilkan satu pasukan yang rakyat boleh lihat dan kita kemukakan calon berkelayakan, profesional, tokoh pendidikan, tokoh teknologi maklumat, jurutera serta arkitek dan kemampuan mereka tidak perlu diragukan,” katanya.