KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] - Datuk Seri Ahmad Said hari ini meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu.    

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
 
Beliau berkata peletakan jawatan itu bagi membolehkan pelantikan menteri besar baharu, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan siapa bakal menggantikan Ahmad, 57.
    
"Saya datang jumpa Adun (Anggota Dewan Undangan Negeri)...seperti dimaklumkan ada pertukaran (menteri besar), saya maklum balas dan mereka terima dan tidak ada masalah, memang betul ada pertukaran.
 
"Kita tunggu (watikah pelantikan menteri besar baharu) daripada Tuanku Sultan Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin) dengan pengesahan daripada pihak istana...dah sah memang disahkan dia (Ahmad Said) dah jumpa Perdana Menteri letak jawatan hari ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan beberapa pemimpin Umno negeri di sini hari ini.
    
Katanya pertukaran itu tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada Umno  di Terengganu kerana pemimpin negeri akur kepada keputusan pucuk pimpinan parti.    

Spekulasi memuncak akhir-akhir ini bahawa Ahmad akan digantikan termasuk  cakap-cakap kononnya beliau bersetuju menjadi menteri besar untuk selama setahun selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei tahun lepas.
    
Ahmad dilantik semula sebagai Menteri Besar selepas menerima watikah pelantikan daripada Sultan Terengganu pada 9 Mei tahun lepas.
    
Beliau yang juga Adun Kijal pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada 22 Mac 2008.
    
Sepanjang perkhidmatannya, Ahmad cukup terkenal dengan slogan “Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan” sebagai teraju utama dalam kepimpinan beliau.
    
Pentadbiran yang mesra rakyat menjadi tonggak dan keutamaan beliau dalam memastikan kepentingan dan permasalahan rakyat diselesaikan.
    
Pada PRU13, Barisan Nasional (BN) Terengganu menang majoriti mudah 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri termasuk pilihan raya kecil Kuala Besut pada 24 Julai tahun lalu. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said masih berteka teki mengenai status karier politiknya sama ada bertanding atau tidak dalam PRU14.
  • KEMAMAN - Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said akan menyerahkan sendiri senarai nama calon PRU14 untuk Umno Bahagian Kemaman kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • KEMAMAN - Selepas tiga tahun, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said akhirnya kembali untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan berkelompok Umno Bahagian Kemaman di sini, malam tadi.
  • SHAH ALAM - "Saya tiada niat untuk menjadi Menteri Besar (MB) kerana apa yang saya lakukan selama ini hanya bersandar niat untuk melihat kepada kebaikan,” demikian kata Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.
  • KEMAMAN - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tidak mahu melayan serangan yang mengaitkannya dengan video seks dan hanya mengambil pendekatan tunggu dan lihat ketika ini.