SHAH ALAM – Adun Batu Caves, Amirudin Shari menawarkan diri untuk menjadi calon bagi jawatan Ketua Angkatan Muda (AMK) pusat pada pemilihan parti itu, tahun ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mencapai kata sepakat dan dorongan daripada akar umbi serta rakan-rakan dalam parti yang menyokongnya mengambil keputusan tersebut.

“Setelah mendapat kata sepakat dan dorongan teman-teman khususnya ahli AMK dari seluruh negara, saya dengan ini menyatakan hasrat untuk menawarkan diri sebagai calon Ketua AMK dalam pemilihan PKR pada tahun ini.

“Semoga hasrat itu terus mendorong cita-cita rakyat untuk melaksanakan agenda reformasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada Kongres Nasional Khas PKR tahun lalu, parti itu telah meminda perlembagaannya dengan menetapkan had umur maksimum 35 tahun bagi jawatan AMK, sekaligus menyebabkan penyandangnya, Shamsul Iskandar Mohd Akin tidak layak bertanding bagi jawatan tersebut.

Walaupun pindaan had umur itu telah dibuat pada 2010, namun pelaksanaannya hanya dikuatkuasakan pada tahun lalu dan ia akan diguna pakai pada pemilihan PKR pada tahun ini.

Bagaimanapun had umur kelayakan bagi jawatan kepimpinan utama di peringkat negeri, pusat serta cabang diberi kelonggaran umur di bawah 40 tahun.