SHAH ALAM – Isu perbezaan pendapat melibatkan golongan yang fanatik harus diselesaikan dengan segera berikutan akan memberikan kesan buruk dan menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang(MAINPP), Dr Danial Zainal Abidin berkata, selain itu, perbalahan mengenai perbezaan pendapat di antara golongan fanatik turut mengakibatkan kecelaruan kepada masyarakat bukan Islam dan menimbulkan persepsi buruk kepada agama ini.

Menurutnya, setiap pihak perlu balik kepada ajaran ALLAH dan menjadikan al-Quran sebagai panduan bagi membangunkan ummah memandangkan pada masa kini, umat Islam berdepan dengan beberapa isu melibatkan persepsi masyarakat bukan Islam.

“Perbezaan pendapat itu bukan masalah utama tapi apa yang memberi masalah adalah dengan adanya golongan fanatik dalam beragama. Bila berbeza pendapat sikit,mereka terus jatuh hukum dan kata sesat.

“Perbezaan pendapat bukannya perkara baru hatta ia turut berlaku pada zaman Nabi, Namun ia tak ada masalah sebab sumbernya sama kecuali jika pentafsirannya keluar daripada metodologi yang betul,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Danial berkata demikian bagi mengulas lanjut mengenai tindakan Kerajaan Johor yang mengeluarkan arahan larangan berceramah atau mengajar agama Islam ke atas 16 penceramah bebas di negeri ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Johor senarai 16 individu dilarang beri ceramah]

Dalam pada itu, Daniel memaklumkan bahawa pada akhir tahun lalu, beliau juga pernah dilarang daripada menyampaikan ceramah di Johor selepas pihak penganjur menerima arahan dikeluarkan Jabatan Agama Islam negeri berkenaan.

“Sebelum ini, saya juga pernah dilarang untuk beri ceramah di Johor tapi berdasarkan senarai larangan yang dikeluarkan baru-baru ini,nama saya tidak tersenarai.

“Jika dilarang untuk menyampaikan ceramah sekalipun, saya faham dan terima namun pihak berkenaan perlu nyatakan sebab. Adakah saya sesat?

Sekiranya benar saya sesat, di mana yang menunjukkan saya sesat dan perkara ini akan menimbulkan pertikaian serta kekeliruan,”katanya.

Selain itu, pengurus dan pengamal perubatan Klinik Syifa itu memaklumkan pihaknya sebelum ini turut tertanya-tanya punca larangan ceramah yang dikeluarkan itu memandangkan tiada sebarang jawapan rasmi diterima sehingga kini.

Ujarnya, hasil daripada makluman pihak penganjur memaklumkan bahawa larangan tersebut dikeluarkan pihak berkenaan berikutan daripada ajaran yang dibawanya tidak selari dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Bila pihak penganjur tanya secara lebih lanjut adakah ajaran itu merupakan ajaran Wahabi, pihak berkenaan hanya diam.

“Bagi saya mereka perlu berikan satu jawapan yang solid supaya tidak menimbulkan kekeliruan khususnya kepada masyarakat bukan Islam,”katanya.

Tambahnya, sekiranya terdapat ruang bagi tujuan perbincangan, ia akan memberikan banyak manfaat selain merungkaikan segala persoalan yang menimbulkan perbezaan pendapat di antara satu sama lain.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap 21 penerbitan kerana kandungannya yang mungkin memudaratkan keselamatan, ketenteraman, moral dan kepentingan awam serta menggemparkan fikiran orang ramai.
  • KUALA LUMPUR - Sebuah Akademi Dai'e Al-Barakah ditubuhkan di Pusat Pendidikan Al-Barakah khusus untuk melatih penceramah agama dalam kalangan artis.
  • KUALA LUMPUR - Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa kerajaan untuk segera mencari alternatif kepada larangan ke atas barangan elektronik tertentu dibawa masuk ke dalam pesawat.
  • IPOH - Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim kesal apabila larangan pembinaan replika berbentuk haiwan diputarbelitkan oleh media hingga mengalih isu sebenar yang diajukan kepada Jabatan Mufti Perak.
  • SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini mengesahkan program ceramah Dr Zakir Naik di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu ini diteruskan.