Kedai vape berlesen tidak jual bahan terlarang – MEVTA

SHAH ALAM – Persatuan E-Vaporizers dan Alternatif Tembakau Malaysia (MEVTA) menggesa semua pemain industri supaya mendapatkan lesen, kelulusan serta mematuhi sepenuhnya semua undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa berkaitan penjualan produk vape dan alternatif tembakau di Malaysia.
Presidennya, Mohamad Neezam Talib berkata, langkah itu penting bagi mengekalkan ekosistem industri yang dikawal selia dengan baik.
Menurutnya, premis yang berlesen dan mematuhi peraturan beroperasi mengikut piawaian yang ditetapkan, sekali gus memastikan akauntabiliti produk, kebolehkesanan serta keselamatan pengguna.
“Tindakan penguatkuasaan dan serbuan yang dijalankan baru-baru ini didapati lebih tertumpu kepada isu kelulusan dan pelesenan.
“Berdasarkan maklumat yang tersedia, tiada dadah atau bahan berbahaya ditemui di premis-premis runcit berlesen. Ini membuktikan bahawa kedai-kedai yang beroperasi secara sah dan terkawal tidak menjual produk terlarang atau berbahaya,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, isu pematuhan lesen adalah perkara pentadbiran yang boleh diperbaiki melalui panduan yang jelas, proses yang telus serta tempoh peralihan yang munasabah.
Jelasnya, industri yang sah bersedia untuk mematuhi setiap keperluan yang ditetapkan, selagi terdapat kejelasan dan keseragaman dalam pelaksanaan dasar di semua peringkat penguatkuasaan.
“MEVTA percaya bahawa pendekatan yang seimbang antara pengawalseliaan dan penguatkuasaan amat penting bagi memastikan objektif kesihatan awam dapat dicapai tanpa menjejaskan perniagaan sah yang beroperasi secara bertanggungjawab.
“Tindakan menyeluruh yang tidak membezakan antara pengendali sah dan haram boleh memberi isyarat yang salah kepada pasaran,” ujarnya lagi.
Mohamad Neezam berkata, langkah yang menjejaskan atau mengharamkan premis-premis sah berpotensi membuka ruang kepada pasaran gelap dan produk tidak terkawal.
Menurutnya, keadaan itu boleh meningkatkan risiko kemasukan bahan berbahaya yang tidak sah ke pasaran, sekali gus menjejaskan keselamatan pengguna dan menyukarkan usaha pemantauan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, beliau berkata, MEVTA menyeru agar dialog berterusan antara industri dan kerajaan diperkukuhkan bagi mencari penyelesaian yang praktikal, berkesan dan berteraskan bukti.
Ujarnya, kerjasama strategik itu penting bagi memastikan industri alternatif tembakau berkembang dalam kerangka undang-undang yang jelas, bertanggungjawab dan selamat.
MEVTA juga komited untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan semua pihak berkepentingan dalam memastikan industri berkenaan dikawal selia secara bertanggungjawab, selamat dan mampan demi kepentingan pengguna dan negara.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pelbagai operasi dan serbuan dijalankan oleh pihak berkuasa di beberapa negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang, melibatkan pemeriksaan premis runcit vape, penyitaan produk serta semakan dokumen pelesenan.
Operasi berkenaan dilaksanakan oleh pelbagai agensi penguat kuasa bagi memastikan pematuhan terhadap syarat lesen, pelabelan, kandungan produk serta cukai yang berkaitan.
Dalam kebanyakan kes yang dilaporkan, tindakan lebih tertumpu kepada aspek pematuhan pentadbiran dan dokumentasi, manakala premis-premis yang berlesen dan berdaftar didapati bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa sepanjang proses pemeriksaan dijalankan.
Ringkasan AI
- MEVTA menggesa pemain industri vape untuk mendapatkan lesen dan mematuhi undang-undang Malaysia
- Mohamad Neezam Talib menekankan pentingnya ekosistem industri yang dikawal selia dengan baik
- Premis yang berlesen terbukti tidak menjual produk terlarang atau bahan berbahaya
- MEVTA percaya dalam pendekatan seimbang antara pengawalseliaan dan penguatkuasaan untuk mencapai objektif kesihatan awam
- MEVTA menyeru kerjasama berterusan antara industri dan kerajaan bagi memastikan peraturan yang jelas dan bertanggungjawab
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

