Kerajaan serah kepada Jawatankuasa Khas siasat isu pemilikan saham Azam Baki - Fahmi

Fahmi (tengah) diiringi Abdul Halim (dua dari kiri) beramah mesra dengan penduduk ketika mengadakan lawatan pada Hari Bersama Komuniti di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Desa Belantik di Projek Perumahan Rakyat Sri Stulang pada Isnin. Foto Bernama
Fahmi (tengah) diiringi Abdul Halim (dua dari kiri) beramah mesra dengan penduduk ketika mengadakan lawatan pada Hari Bersama Komuniti di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Desa Belantik di Projek Perumahan Rakyat Sri Stulang pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan menyerahkan kepada Jawatankuasa Khas untuk melaksanakan siasatan berhubung isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Jurucakap Kerajaan Madani yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri telah memberikan maklum balas berhubung isu itu melalui keputusan penubuhan jawatankuasa khas berkenaan.

"Bagi kami (Jemaah Menteri), kami serahkan kepada jawatankuasa untuk lakukan siasatan, lakukan siasatan penuh dan Tan Sri Azam juga sangat terbuka berkata beliau sedia untuk disiasat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jelajah Ramadan 2026 Edisi Ke-14 di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman.

Media melaporkan, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, jawatankuasa ini akan melaksanakan siasatan secara terperinci bagi memberikan pengadilan sewajarnya kepada pihak yang disiasat.

Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam pada sidang media baru-baru ini, menegaskan bahawa pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Berhubung satu himpunan berkaitan isu Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dihadiri Datuk Seri Rafizi Ramli, Fahmi berkata, bekas Timbalan Presiden PKR itu mempunyai hak untuk berhimpun.

Artikel Berkaitan:

"Beliau (Rafizi) ada hak untuk melaksanakan apa-apa yang dia rasa dia nak lakukan. Di bawah Perlembagaan, memang rakyat Malaysia ada hak untuk berhimpun.

"Semalam, kita dengar Ketua Polis Kuala Lumpur mengatakan dalam 150 hingga 200 orang yang hadir dan tidak berlaku apa-apa insiden yang mencemaskan ataupun mengganggu keselamatan,” katanya.

Ditanya sama ada Rafizi boleh dikenakan tindakan tatatertib oleh parti, beliau menyerahkan apa-apa keputusan kepada parti sekiranya wujud aduan terhadap Rafizi.

"Setakat ini, Setiausaha Agung belum memaklumkan telah menerima sebarang aduan, tetapi mereka yang berkumpul ada hak, tidak menjadi masalah di sisi undang-undang,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, polis akan meneruskan siasatan berhubung himpunan berkaitan isu Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi memastikan tiada unsur menyentuh isu perkauman, agama dan institusi diraja (3R).

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti semua aspek sepanjang perhimpunan terbabit dan sekiranya terdapat sebarang unsur melibatkan isu 3R, kertas siasatan akan dibuka untuk tindakan lanjut. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan menyerahkan siasatan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Jawatankuasa Khas
  • Jawatankuasa akan melakukan siasatan terperinci untuk memberikan pengadilan sewajarnya
  • Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan
  • Azam Baki mendakwa pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dibuat secara telus dan mengikut prosedur
  • Polis akan meneruskan siasatan pada himpunan berkaitan isu Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk memastikan tiada unsur 3R

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!