Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi RAJD Askar Wataniah dilancar

Mohamed Khaled (empat dari kiri) merasmikan Majlis Peluncuran Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi RAJD (AW) di Menara Prasarana pada Isnin. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohamed Khaled (empat dari kiri) merasmikan Majlis Peluncuran Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi RAJD (AW) di Menara Prasarana pada Isnin. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

PETALING JAYA - Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah rasmi dilancarkan pada Isnin.

Skuadron yang melibatkan 33 pegawai dan 191 anggota Askar Wataniah itu berperanan sebagai pasukan pakar yang menyokong Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam aspek perlindungan, sokongan teknikal serta pemulihan infrastruktur rel bandar semasa kecemasan, bencana alam, sabotaj atau gangguan operasi berskala besar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penubuhan skuadron tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam memastikan kebolehoperasian dan keselamatan infrastruktur pengangkutan awam strategik sentiasa berada di tahap optimum.

"Inisiatif ini turut menyokong agenda Kerajaan Madani yang menekankan kepentingan sistem pengangkutan awam dari aspek daya tahan, kesinambungan perkhidmatan serta keselamatan rakyat, selaras Dasar Pertahanan Menyeluruh (HanRuh).

"Sistem rel bandar adalah infrastruktur kritikal yang menyokong mobiliti harian rakyat dan kelangsungan ekonomi. Justeru, skuadron ini menyumbang secara langsung kepada keselamatan negara.

"Kerjasama strategik antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sektor awam dan Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali utama perkhidmatan rel bandar merupakan manifestasi utama pendekatan 'whole of government' seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis peluncuran Skuadron Rapid Rail 50 RAJD Askar Wataniah di Menara Prasarana, di sini.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan Pengerusi Prasarana, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad.

Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi RAJD Askar Wataniah terdiri daripada anggota Askar Wataniah sepenuhnya meliputi pakar air, pakar pelabuhan, pakar teknologi dan maklumat (IT) dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Ketika berdepan situasi krisis, skuadron tersebut akan digerakkan bagi membantu pemulihan operasi rel, sokongan kejuruteraan, pengurusan tapak kejadian serta penyelarasan tindakan bersama antara pihak terlibat dalam Pelan Tindak Balas Kecemasan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Leftenan Kolonel Amir Hamdan memaklumkan, peluncuran skuadron bukan sekadar simbolik, tetapi pencapaian strategik yang mencerminkan komitmen bersama antara sektor pengangkutan awam dengan pertahanan negara.

Tambah beliau, sistem rel bandar Lembah Klang menyokong mobiliti jutaan rakyat dan menjadi tunjang kepada kelangsungan ekonomi serta kestabilan negara.

"Justeru, ia langkah penting dalam membangunkan keupayaan khususnya operasi penyelenggaraan dan pengurusan kecemasan sistem rel bandar.

"Kami berharap usaha sebegini menjadi contoh kepada organisasi lain untuk turut menyumbang dalam mengekalkan pertahanan nasional," ujar Amir.

Ringkasan AI

  • Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Askar Wataniah dilancarkan untuk menyokong TDM dalam perlindungan dan pemulihan infrastruktur rel bandar
  • Penubuhan skuadron mencerminkan komitmen Mindef menjaga keselamatan infrastruktur pengangkutan awam
  • Kerjasama antara ATM dengan sektor awam dan Rapid Rail Sdn Bhd menunjukkan pendekatan 'whole of government'
  • Skuadron terdiri daripada pakar air, pelabuhan, teknologi dan maklumat yang akan digerakkan ketika krisis
  • Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting dalam membangunkan keupayaan operasi dan pengurusan kecemasan sistem rel bandar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!