Lelaki paling ramai diisytihar bankrap di Malaysia - Jabatan Insolvensi

SHAH ALAM - Kaum lelaki terus mencatatkan jumlah tertinggi sebagai golongan diisytiharkan bankrap di negara ini, merangkumi 71.78 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan antara 2022 hingga bulan lalu.
Memetik laporan media tempatan, Pengarah Insolvensi Selangor, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail berkata, statistik terbaharu menunjukkan daripada 23,918 kes yang didaftarkan sepanjang tempoh berkenaan, 17,168 individu yang bankrap adalah lelaki berbanding 6,664 wanita (27.86 peratus).
"Selain itu, sebanyak 86 kes lagi (0.36 peratus) diklasifikasikan sebagai tidak dinyatakan," katanya pada Isnin.
Statistik itu didedahkan menerusi slaid Jabatan Insolvensi yang dibentangkannya ketika sesi perkongsian bertajuk 'Kebankrapan Bukan Titik Noktah, Tetapi Tanda Koma-Memahami Peluang Kedua'.
Mengikut pecahan kumpulan umur, individu berusia 35 hingga 44 tahun mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 9,535 kes, mewakili 39.87 peratus daripada keseluruhan kes.
Ia diikuti kumpulan umur 45 hingga 54 tahun dengan 6,869 kes (28.72 peratus).
Golongan berusia 25 hingga 34 tahun pula merekodkan sebanyak 3,415 kes (14.28 peratus), manakala rakyat Malaysia berusia 55 tahun ke atas mencatatkan 3,874 kes (16.20 peratus).
Hanya 66 kes (0.28 peratus) membabitkan individu berusia 20 hingga 24 tahun.
Dari segi punca kebankrapan, pinjaman peribadi kekal sebagai penyumbang utama dengan 10,885 kes atau 45.51 peratus.
Pembiayaan kenderaan berada di tangga kedua dengan 4,661 kes (19.49 peratus).
Faktor lain yang signifikan termasuk pinjaman perumahan (2,151 kes, 8.99 peratus), pinjaman sewa beli kenderaan (1,837 kes, 7.68 peratus) serta komitmen penjamin korporat (1,342 kes, 5.61 peratus).
Hutang kad kredit menyumbang 556 kes (2.32 peratus), manakala tunggakan cukai pendapatan 531 kes (2.22 peratus).
Mengikut kategori pekerjaan, pekerja sektor swasta mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 7,670 kes (32.07 peratus), diikuti rapat kategori 'tiada maklumat' sebanyak 7,221 kes (30.19 peratus).
Golongan usahawan merekodkan 4,758 kes (19.89 peratus), manakala penjawat awam mencatatkan 2,992 kes (12.51 peratus).
Jumlah yang lebih kecil direkodkan dalam kalangan bekerja sendiri (856 kes), penganggur (297 kes), pesara kerajaan (52 kes) dan golongan profesional (67 kes).
Ringkasan AI
- Kaum lelaki mencatatkan jumlah tertinggi sebagai golongan diisytiharkan bankrap di Malaysia, merangkumi 71.78 peratus dari keseluruhan kes
- Sebanyak 23,918 kes kebankrapan didaftarkan antara 2022 hingga bulan lalu, dengan 17,168 individu yang bankrap adalah lelaki
- Individu berusia 35 hingga 44 tahun mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 9,535 kes, mewakili 39.87 peratus dari keseluruhan kes
- Pinjaman peribadi adalah penyumbang utama kebankrapan dengan 10,885 kes atau 45.51 peratus
- Pekerja sektor swasta mencatatkan jumlah kes tertinggi kebankrapan dengan 7,670 kes atau 32.07 peratus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

