Agong zahir amaran lebih ramai individu dalam radar untuk misi perangi rasuah

 Sultan Ibrahim. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan amaran bahawa lebih ramai individu berada dalam 'radar' Seri Paduka Baginda untuk misi memerangi rasuah tanpa kompromi di semua jabatan serta agensi kerajaan.

Seri Paduka Baginda bertitah, rasuah ialah pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak akan sama sekali ditoleransikan dalam pentadbiran negara.

"Jangan ingat memerangi rasuah ini hanya bertumpu pada segelintir jabatan, atau mereka yang memberikan dan menerima, malah berhati-hati juga mereka di Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai lagi, tidak terlepas juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Tidak kira apa jua pangkat anda, begitu juga ejen-ejen yang menjadi 'orang tengah' selain menjadi pembekal pelbagai peralatan, pakaian serta perubatan, anda juga dalam ‘radar’.

"Bak kata pepatah ‘siapa makan cili, dia terasa pedas', jangan anda semua ingat saya tidak tahu apa-apa, saya juga mempunyai risikan saya sendiri,” titah Seri Paduka Baginda yang dimuat naik dalam Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Isnin.

Sultan Ibrahim bertitah usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau sekadar retorik kerana tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada undang-undang.

Titah Seri Paduka Baginda, sekiranya terdapat pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, maka pertukaran perlu dilaksanakan tanpa berlengah.

"Saya ada alternatif lain. Jika ada pegawai yang tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab itu," titah Seri Paduka Baginda.

Pada 19 Januari lepas, Sultan Ibrahim menerusi Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bertitah supaya amalan rasuah diperangi secara besar-besaran dengan tiada sesiapa pun boleh dilindungi daripada tindakan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Seri Paduka Baginda bertitah, usaha membanteras rasuah tidak boleh tertumpu hanya kepada penerima rasuah, sebaliknya pemberi rasuah, ejen atau mana-mana pihak yang bersubahat turut perlu disiasat dan dikenakan tindakan tegas. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan amaran bahawa usaha memerangi rasuah adalah tanpa kompromi di semua jabatan dan agensi kerajaan
  • Rasuah dianggap sebagai pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak ditoleransikan
  • Semua pihak, termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, berada dalam 'radar'
  • Tiada sesiapa, tidak kira pangkat atau peranan sebagai 'orang tengah', akan terlepas dari usaha memerangi rasuah
  • Usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik dan harus melibatkan tindakan tegas terhadap semua pihak, termasuk pemberi dan penerima rasuah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!