Badan Peguam Negara mohon cabar lantikan Terrirudin di JAC

KUALA LUMPUR – Badan Peguam Negara memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis minggu lalu berhubung pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh ke Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada 15 November 2025.
Badan Peguam Negara selaku pemohon, memfailkan perkara berkenaan pada 15 Februari lalu dengan menamakan bekas Peguam Negara itu sebagai responden pertama; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, JAC dan Kerajaan Malaysia responden kedua hingga keempat.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, pemohon meminta kebenaran bagi semakan kehakiman menurut Aturan 53 Kaedah 3, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 ex-parte atau sebelah pihak.
Pemohon meminta perintah certiorari untuk membatalkan keputusan responden kedua untuk melantik responden pertama sebagai anggota JAC.
Paling utama, beliau meminta deklarasi bahawa keputusan tersebut menyalahi undang-undang, terbatal dan tidak sah.
Badan itu juga memohon perintah mandamus yang memerintahkan responden kedua untuk melaksanakan prerogatif melantik seorang anggota JAC selaras dengan undang-undang termasuk konvensyen serta Akta JAC 2009.
“Badan ini meminta perintah mandamus yang memerintahkan JAC untuk menubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat dakwaan-dakwaan terhadap Ahmad Terrirudin malah siasatan tersebut didedahkan kepada umum.
“Termasuk perintah mandamus terhadap JAC untuk mengeluarkan, memberikan atau mendedahkan sesalinan minit mesyuaratnya, yang diadakan pada 16 Mei 2025, kepada pemohon dalam tempoh tujuh hari dari tarikh pelupusan permohonan untuk kebenaran ini.
“Ahmad Terrirudin perlu menunjukkan sebab Anwar, JAC dan kerajaan melantiknya, dan bukan anggota badan kehakiman yang lain,” katanya.
Pemohon meminta perintah larangan yang menghalang responden kedua hingga keempat daripada melantik Ahmad Terrirudin memegang jawatan dalam badan kehakiman prosiding semakan kehakiman berkenaan selesai.
Mahkamah menetapkan perbicaraan bagi permohonan pendengaran berkenaan dibuat di hadapan Hakim, Datuk Aliza Sulaiman pada 16 Mac depan.
Berdasarkan warta kerajaan bertarikh 18 November 2025, Ahmad Terrirudin dilantik sebagai anggota JAC untuk tempoh dua tahun bermula 15 November 2025 hingga 14 November 2027.
Beliau dilantik oleh Perdana Menteri menurut perenggan 5(1)(e) Akta JAC 2009 bagi mengisi kekosongan keanggotaan JAC selepas Hakim, Zabariah Mohd Yusof bersara wajib pada usia 66 tahun (selepas lanjutan masa perkhidmatan selama enam bulan), Oktober tahun lalu.
Pada Disember tahun lalu, Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, Akta JAC memberikan kuasa prerogatif kepada Perdana Menteri untuk melantik anggota kelima daripada Hakim Mahkamah Persekutuan tanpa perlu merujuk suruhanjaya itu.
Wan Ahmad Farid berkata, keputusan Perdana Menteri untuk melantik Ahmad Terrirudin, sebagai anggota JAC adalah dalam bidang budi bicaranya dan tidak boleh dicabar dan tiada siapa termasuk beliau yang boleh mempersoalkan keputusan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

