Risiko penularan tibi meningkat ketika Tahun Baharu Cina, Ramadan - Galen Centre

Rawatan tibi menggunakan antibiotik seperti rifampin, ethambutol dan isoniazid perlu diambil selama enam hingga sembilan bulan dan hanya berkesan sekiranya pesakit melengkapkan sesi rawatan. Foto hiasan
Rawatan tibi menggunakan antibiotik seperti rifampin, ethambutol dan isoniazid perlu diambil selama enam hingga sembilan bulan dan hanya berkesan sekiranya pesakit melengkapkan sesi rawatan. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia dijangka berdepan peningkatan risiko penularan tuberkulosis atau tibi sepanjang tempoh musim perayaan Tahun Baharu Cina serta Ramadan hingga Aidilfitri nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre, Azrul Mohd Khalib berkata, peningkatan aktiviti sosial dalam bangunan meningkatkan potensi penularan penyakit berjangkit itu kerana ia merebak melalui udara dan risiko jangkitan bertambah dalam persekitaran sesak, tertutup serta kurang pengudaraan.

"Sebarang aktiviti melibatkan individu dengan tibi aktif yang bercakap, menjerit, menyanyi, batuk atau bersin dalam rumah yang dipenuhi tetamu, pengangkutan awam yang padat, tempat kerja, asrama dan rumah ibadat boleh menyebarkan jangkitan.

"Seorang individu berjangkit boleh tanpa sedar menjangkiti ramai orang lain," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Azrul menjelaskan, kajian di kawasan bertendensi tinggi menunjukkan lebih 80 peratus penularan berlaku di luar isi rumah, termasuk di tempat kerja, pengangkutan awam dan perhimpunan sosial.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap sesi solat berjemaah sepanjang Ramadan, termasuk solat harian, solat Jumaat dan solat tarawih yang melibatkan kehadiran lebih ramai jemaah dalam tempoh lama setiap malam selama sebulan.

"Orang ramai perlu memakai pelitup muka semasa tarawih, termasuk mereka yang menghadiri aktiviti keagamaan di gereja dan kuil dalam tempoh ini,” ujarnya.

Sementara itu, Azrul turut memberi amaran mengenai kemunculan dan penularan tibi rintang pelbagai ubat (MDR-TB) serta tibi rintang meluas (XDR-TB) yang lebih sukar dirawat dan dikaitkan dengan kadar kematian lebih tinggi.

Beliau berkata, rawatan tibi menggunakan antibiotik seperti rifampin, ethambutol dan isoniazid perlu diambil selama enam hingga sembilan bulan dan hanya berkesan sekiranya pesakit melengkapkan sesi rawatan.

Artikel Berkaitan:

"Tibi tahan ubat berpunca daripada dos dan rawatan yang tidak lengkap. Ia lebih mahal untuk diuruskan, lebih kompleks kepada sistem perkhidmatan kesihatan serta berbahaya kepada pesakit serta komuniti.

"Golongan warga emas dan individu dengan penyakit kronik perlu mengambil serius ancaman tibi kerana mereka mudah terdedah kepada ancaman.

"Sekiranya mengalami simptom seperti batuk berpanjangan, batuk berdarah dan penurunan berat badan ketara dalam tempoh singkat, segera dapatkan rawatan," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Malaysia dijangka berdepan peningkatan risiko penularan tuberkulosis semasa Tahun Baharu Cina dan Ramadan hingga Aidilfitri
  • Aktiviti sosial dalam bangunan meningkatkan potensi penularan kerana tuberkulosis merebak melalui udara
  • Lebih 80 peratus penularan berlaku di luar isi rumah termasuk di tempat kerja dan pengangkutan awam
  • Azrul menyarankan orang ramai memakai pelitup muka semasa tarawih dan kegiatan keagamaan lain
  • Tibi rintang ubat lebih mahal untuk diurus, lebih kompleks dan berbahaya kepada pesakit serta komuniti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!