'Pertunangan putus, mama sudah bayar RM7,000' - Anak wanita dikerat

KOTA KINABALU - Seorang pemuda tampil menerusi siaran langsung di TikTok pada malam Jumaat dengan mendakwa dirinya anak kepada wanita yang dibunuh dan dikerat anggota badan, sambil menceritakan semula hubungan ibunya dengan suspek.
Dalam siaran berkenaan, lelaki itu memaklumkan bahawa pertunangan ibunya dengan suspek telah pun diputuskan dan wang sebanyak RM7,000 yang didakwa sebelum ini telah dipulangkan sepenuhnya.
"Lelaki ini (suspek) pergi berjumpa dengan adik-beradik ibu saya dan menyatakan mahu memutuskan pertunangan, namun meminta semula wang RM7,000 tersebut.
"Apabila pertunangan itu diputuskan, ibu saya telah membayar semula kesemua wang berkenaan. Selepas itu, ibu saya berkenalan dengan seorang lelaki lain dan mereka berkahwin pada Januari lalu," katanya dalam video yang kini tular di media sosial.
Menurutnya, suspek bagaimanapun masih terus mengganggu ibunya dengan menggunakan beberapa nombor telefon berbeza.
"Dia bukan hanya menggunakan satu nombor telefon, tetapi enam nombor yang berlainan untuk mengganggu ibu saya.
"Saya menasihatkan ibu supaya tidak lagi berhubung dengan suspek walaupun sekadar sebagai kawan dan meminta beliau menjauhkan diri daripadanya. Ibu akur dengan permintaan saya," katanya.
Bagaimanapun, pada Rabu lalu, ibunya memaklumkan kepada abangnya bahawa dia ingin keluar ke Kota Kinabalu untuk bertemu seorang rakan atas urusan tertentu.
"Sekitar tengah hari Rabu, ibu beritahu abang bahawa dia keluar untuk berjumpa rakan kerana ada urusan. Ketika itu saya sedang bekerja dan tiada di rumah.
"Abang ada berpesan supaya jangan pulang lewat, namun sehingga tengah malam ibu tidak pulang. Telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi, termasuk menerusi aplikasi WhatsApp.
"Kami tidak tahu di mana ibu berada. Kami tidak dapat tidur malam itu dan setiap setengah jam cuba menghubunginya, namun gagal sehingga ke pagi Khamis sebelum penemuan mayat tersebut," katanya.
Sebelum itu, dalam kejadian pagi Khamis lalu, mayat seorang wanita yang dikerat ke beberapa bahagian ditemui dibuang di tempat pembuangan sampah di kawasan Taman Indah Permai, Sepangar.
Susulan penemuan mayat tersebut, dua suspek berjaya ditahan dan polis memaklumkan bahawa suspek utama berusia 71 tahun merupakan bekas tunang mangsa.
Ringkasan AI
- Seorang pemuda mendakwa dirinya anak kepada wanita yang dibunuh dan dikerat anggota badan menerusi siaran langsung di TikTok
- Ibunya yang dibunuh pernah bertunang dengan suspek tetapi pertunangan diputuskan dan wang pertunangan RM7,000 dipulangkan
- Selepas putus tunang, ibunya berkahwin dengan lelaki lain pada Januari lalu tetapi suspek terus mengganggu menggunakan enam nombor telefon berbeza
- Ibunya keluar bertemu rakan di Kota Kinabalu dan tidak pulang, kemudian ditemui mati dibuang di tempat pembuangan sampah
- Dua suspek termasuk bekas tunang berusia 71 tahun ditahan berhubung dengan pembunuhan tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
