Kemalangan, pertambahan kenderaan punca trafik perlahan malam ini - LLM

KUALA LUMPUR - Beberapa jajaran utama lebuh raya di seluruh negara dilaporkan masih bergerak perlahan setakat jam 9 malam ini berikutan insiden kemalangan dan pertambahan jumlah kenderaan.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E2, trafik perlahan dari Bandar Baru Nilai ke Bandar Ainsdale dan Senawang ke Pedas Linggi akibat kemalangan di KM253.6.
"Bagi arah selatan di jajaran E1 pula, kesesakan dilaporkan dari Changkat Jering ke Kuala Kangsar ekoran kemalangan di KM232.3, manakala dari arah utara trafik perlahan melibatkan jajaran Kuala Kangsar ke Changkat Jering serta Juru ke Seberang Jaya.
"Selain itu, aliran trafik turut dikesan perlahan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dari Puchong Utama ke Puchong Intan serta Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) melibatkan jajaran IOI Putrajaya dan Persiaran Utara ke Hospital Serdang," katanya ketika dihubungi hari ini.
Secara keseluruhan, trend aliran trafik hari ini dilaporkan tidak terlalu sesak seperti semalam dan dijangka keadaan akan bertambah baik selepas tengah malam.
LLM menjangkakan aliran trafik di semua lebuh raya utama akan kembali lancar selepas jam 11.59 malam ini susulan berakhirnya tempoh pemberian diskaun tol 50 peratus oleh kerajaan.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya sentiasa fokus pada pemanduan, menjaga jarak selamat serta berwaspada terhadap sebarang halangan di hadapan.
"Bagi penunggang motosikal, pastikan anda sentiasa berhati-hati terutamanya di kawasan yang diaktifkan sebagai laluan Smart Lane bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," jelasnya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine di 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik. - Bernama
Ringkasan AI
- Beberapa jajaran utama lebuh raya di seluruh negara dilaporkan masih bergerak perlahan akibat kemalangan dan pertambahan jumlah kenderaan
- Trafik perlahan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E2 dan E1 disebabkan kemalangan
- Kesesakan juga dilaporkan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)
- Trend aliran trafik hari ini tidak terlalu sesak seperti semalam dan dijangka bertambah baik selepas tengah malam
- Aliran trafik di semua lebuh raya utama dijangka kembali lancar selepas jam 11.59 malam ini berikutan berakhirnya tempoh pemberian diskaun tol 50 peratus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
