Mangsa rentung disahkan suami isteri, pemandu SUV disyaki mabuk

Pemandu Porche Cayenne diiringi anggota polis ketika dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman pada Sabtu.
Pemandu Porche Cayenne diiringi anggota polis ketika dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman pada Sabtu.
A
A
A

TEMERLOH – Dua mangsa yang ditemukan rentung dalam sebuah kereta yang terbakar akibat dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 134, Jalan Kuala Lumpur–Kuantan berhampiran Taman Tualang Indah, Mentakab di sini awal pagi Sabtu, disahkan merupakan pasangan suami isteri.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.55 pagi itu, pasangan berusia 34 dan 35 tahun berkenaan dipercayai terperangkap di dalam kereta jenis Proton Preve yang terbakar.

Menurutnya, pemandu SUV jenis Porsche Cayenne berusia 28 tahun dilaporkan mengalami kecederaan pada tangan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan, manakala SUV terbabit juga datang dari arah yang sama.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, SUV tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang Proton Preve,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohd Nasyim berkata, pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan.

“Dalam kejadian itu, Proton Preve terbakar dan mengakibatkan pemandu serta penumpangnya meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk proses bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu Porsche Cayenne terbabit disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

Artikel Berkaitan:

“Sampel darah dan air kencing pemandu berkenaan telah diambil bagi tujuan analisis toksikologi dan kini sedang menunggu keputusan.

“Permohonan reman ke atas lelaki itu telah dibenarkan selama empat hari sehingga 17 Februari ini,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta orang awam yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 12.57 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi sebelum melaksanakan operasi pemadaman ke atas Proton Preve menggunakan aliran salur bantu mula daripada tangki jentera.

“Selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya, anggota penyelamat menggunakan peralatan hidraulik bagi memotong struktur kenderaan untuk mengeluarkan mayat mangsa,” katanya.

Ringkasan AI

  • Dua mangsa rentung dalam kereta Proton Preve terbakar akibat dirempuh SUV di Temerloh
  • Pasangan suami isteri berusia 34 dan 35 tahun meninggal dunia di tempat kejadian
  • Pemandu SUV Porsche Cayenne berusia 28 tahun mengalami kecederaan pada tangan
  • Siasatan awal mendapati pemandu SUV disyaki memandu dalam keadaan mabuk
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!