KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sedia melepaskan jawatan sekiranya debat antara Tony Pua dan Arul Kanda Kandasamy tidak mengikut syarat.

Memetik laporan Astro Awani katanya, jika debat itu diteruskan tanpa mematuhi syarat yang dinyatakan beliau, maka beliau sedia meletakkan jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat.

"Kenapa harus terburu-buru (hendak mengadakan debat)? Adakah perbahasan itu akan dapat keputusan tuntas?

"Tidak bukan. Jadi kenapa harus terburu-buru... tetapi kalau Kerajaan mahu teruskan perdebatan, saya tidak mahu terlibat (dalam isu ini), saya sedia mengundur diri," katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Pandikar Amin berkata, Tony merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara perlu melepaskan jawatan beliau sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) jika mahu berdebat dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda.

Pandikar Amin berpandangan bahawa penyiasatan PAC yang merupakan jawatankuasa di bawah Parlimen mestilah telus.

Selain itu, Pandikar berkata, Arul Kanda juga perlu dilucutkan sebagai saksi dalam siasatan PAC jika ingin meneruskan debat tersebut.

Debat atau bual bicara secara siaran langsung di televisyen di antara Tony dan Arul Kanda juga dilihat mendapat 'lampu hijau' kerajaan apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak memaklumkan bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah pun menyatakan kesediaan untuk menyiarkan debat itu secara langsung.

Terbaru, Salleh memberitahu bahawa RTM mencadangkan agar debat 1MDB Arul-Tony Pua diadakan pada jam 9 hingga 10 malam Jumaat ini, iaitu 6 Nov 2015 di Studio 1 tanpa penonton.

[ARTIKEL BERKAITAN: Debat 1MDB dicadang Jumaat ini]

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan debat ini sebagai peluang untuk menyerlahkan keberanian dan kejantanan masing-masing bagi mencari kebenaran berhubung isu menyelubungi syarikat pembangunan strategik itu.