Kerajaan tetapkan siling RM300,000, pemetaan harga kawal kenaikan harga rumah

KUALA LUMPUR - Kerajaan meningkatkan langkah kawalan harga rumah menerusi tiga inisiatif utama dalam usaha untuk memastikan rakyat terus mempunyai akses kepada kediaman yang mampu dimiliki.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, antara langkah tersebut ialah penetapan harga siling rumah mampu milik pada kadar RM300,000 di bawah Dasar Perumahan Mampu Milik Negara.
Selain itu, beliau berkata kementerian turut melaksanakan pemetaan harga rumah mampu milik bagi memastikan harga ditetapkan selaras dengan kemampuan rakyat setempat.
"(Kerajaan) melaksanakan pemetaan harga rumah mampu milik berdasarkan pendapatan median mengikut negeri dan daerah hasil daripada Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah pada 2024.
"Pemetaan ini menjadi rujukan bagi penetapan harga rumah di satu-satu lokaliti dan boleh diakses di papan pemuka maklumat rumah mampu milik di laman web Malaysian Urban Observatory (MUO),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai langkah kerajaan dalam mengawal kenaikan mendadak harga rumah pada ketika ini yang membebankan pembeli rumah pertama.
Aiman Athirah berkata kementerian turut memperketat pemantauan pemajuan perumahan menerusi pelaksanaan Sistem Pengurusan Perumahan Bersepadu (HIMS) yang memproses sepenuhnya permohonan lesen pemajuan perumahan serta permit iklan dan jualan secara dalam talian.
Beliau berkata sistem itu menjadi mekanisme utama pengumpulan data perumahan untuk tujuan pengurusan, pemantauan dan pelaporan, selain membolehkan intervensi awal dilaksanakan terhadap projek yang lewat atau berisiko.
Selain itu, beliau berkata menurut laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), harga rumah di Malaysia menunjukkan trend peningkatan apabila Indeks Harga Rumah Malaysia bagi separuh pertama 2025 mencatatkan 227.3 mata dengan harga purata RM490,376 seunit.
Pada masa sama, kerajaan turut memperkukuh usaha membantu pembeli rumah pertama memiliki kediaman sendiri menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000, khususnya kepada golongan B40 dan M40 termasuk individu berpendapatan tidak tetap.
Beliau berkata SJKP juga menawarkan pinjaman perumahan sehingga 120 peratus kepada pembeli rumah pertama, selain menyediakan skim step-up financing yang membolehkan kadar faedah meningkat secara berperingkat mengikut keupayaan peningkatan pendapatan peminjam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
