Dokumen 77 muka surat kes Da’i Syed tular, cetus pelbagai reaksi

SHAH ALAM - Dokumen setebal 77 muka surat yang didakwa sebagai alasan penghakiman kes rogol membabitkan pendakwah selebriti, Da’i Syed, tular di media sosial susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang memerintahkannya dipenjarakan serta-merta selepas mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya, Jumaat lalu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati dokumen berkenaan tersebar menerusi pelbagai platform media sosial termasuk Threads, X dan Facebook sejurus selepas mahkamah mengekalkan sabitan kes terhadap tertuduh atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31.
Ada antara pengguna media sosial didapati memuat naik pautan dokumen dan ada juga berkongsi tangkap layar dokumen terbabit yang mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
Segelintir netizen meluahkan rasa terkejut selepas membaca pendedahan yang terkandung dalam alasan penghakiman berkenaan selain ada yang mengakui meluangkan masa berjam-jam untuk membaca keseluruhan isi kandungan hujah penghakiman tersebut.
Seorang pengguna Threads mengakui membaca alasan penghakiman itu sehingga tamat walaupun pada awalnya dokumen itu tidak boleh diakses.
“Saya baru habis baca. Dari pagi tadi nak akses (dokumen) tak dapat. Sekarang dah boleh (buka). Berpinar mata. Nasib baik esok tak kerja,” katanya pada Sabtu.
Pada Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Da’i Syed untuk mengetepikan sabitan dan menangguhkan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 30 Ogos 2024 selepas dia disabitkan kesalahan merogol seorang wanita tujuh tahun lalu.
Berikutan keputusan itu, tertuduh diperintahkan untuk dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara selama 10 tahun serta tiga sebatan.
Da’i Syed sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan atas pertuduhan merogol seorang wanita yang ketika kejadian berusia 23 tahun di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019.
Bagi pertuduhan itu, dia berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Da’i Syed daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkannya membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Pada 30 Ogos 2024, dia menangis teresak-esak selepas Mahkamah Sesyen menjatuhinya hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas tuduhan berkenaan dan diperintahkan ke penjara pada hari sama.
Selepas 21 hari meringkuk di Penjara Kajang, Da’i Syed dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi hingga rayuan utamanya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman didengar pada Jumaat lalu.
Ringkasan AI
- Dokumen alasan penghakiman kes rogol Da'i Syed tular di media sosial selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan dan hukuman penjaranya
- Dokumen berkenaan tersebar di pelbagai platform media sosial dengan pengguna memuat naik pautan dan tangkap layar dokumen
- Netizen meluahkan rasa terkejut dan ada yang meluangkan masa berjam-jam untuk membaca isi kandungan dokumen tersebut
- Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Da'i Syed, menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan tiga sebatan atas tuduhan merogol
- Da'i Syed sebelum ini dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi setelah 21 hari di Penjara Kajang, sebelum keputusan akhir pada Jumaat lalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

