Pendekatan 3K dicadang bagi kemasukan murid Tahun Satu usia enam tahun

SHAH ALAM - Pendekatan berasaskan kapasiti, kelahiran dan kelonggaran atau 3K dicadangkan dalam pelaksanaan kemasukan murid Tahun 1 pada usia enam tahun, berbanding pelaksanaan ujian diagnostik terhadap kanak-kanak berusia lima tahun.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, berdasarkan data kelahiran tahun 2021, dianggarkan kira-kira 440,000 kanak-kanak akan mencapai usia enam tahun pada 2027 dan memerlukan lebih 12,500 bilik darjah sekiranya purata satu kelas menempatkan 35 murid.
"Penyediaan jumlah bilik darjah berkenaan, termasuk guru terlatih serta fasiliti sokongan lain, merupakan satu cabaran besar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk dilaksanakan dalam tempoh 11 bulan," menurut Radzi dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa.
Sehubungan itu, ujarnya, antara pilihan yang boleh dipertimbangkan adalah menangguhkan sedikit pelaksanaan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun bagi memberi ruang kepada penyediaan bilik darjah, guru serta fasiliti yang diperlukan.
Bagaimanapun jika KPM tetap meneruskan pelaksanaan pada 2027 beliau berkata, kemasukan murid berkemungkinan dilaksanakan secara berperingkat, selaras dengan kekangan kapasiti bilik darjah dan tenaga pengajar seperti yang digambarkan Menteri Pendidikan.
Mengulas perkara itu, Radzi mempersoalkan kaedah kemasukan berperingkat yang akan dilaksanakan dan mencadangkan pendekatan 3K sebagai asas pelaksanaannya.
Beliau menjelaskan, dari segi kapasiti, KPM perlu meneliti keupayaan sebenar yang boleh disediakan pada Januari 2027 bagi pengambilan tambahan murid Tahun Satu berusia enam tahun, termasuk ketersediaan kelas, guru dan fasiliti, selain membuat unjuran kapasiti bagi tahun-tahun berikutnya.
Dari segi kelahiran pula ujarnya, kemasukan berperingkat seharusnya ditentukan berdasarkan tarikh kelahiran kanak-kanak dan bukannya melalui saringan ujian diagnostik.
Sebagai contoh jelasnya, jika KPM hanya mampu mengambil tambahan 100,000 murid pada 2027, kelayakan kemasukan boleh ditetapkan berdasarkan bulan kelahiran tertentu.
“KPM boleh menetapkan murid yang mencapai usia enam tahun antara Januari hingga April 2027 diterima masuk ke Tahun 1. Pada tahun-tahun seterusnya, berdasarkan pertambahan kapasiti, julat kelayakan ini boleh diperluaskan,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar ibu bapa diberikan kelonggaran untuk membuat pilihan sama ada mendaftarkan anak yang layak memulakan Tahun 1 pada usia enam tahun atau menangguhkannya ke usia tujuh tahun.
Menurut Radzi, pendekatan berkenaan lebih selari dengan proses pertumbuhan kanak-kanak kerana perbezaan perkembangan antara kanak-kanak yang lahir pada hujung tahun sebelumnya dan awal tahun berikutnya tidak begitu ketara.
Tambahnya, pendekatan itu juga memberi peluang kepada pembinaan budaya baharu permulaan persekolahan pada usia enam tahun dalam keadaan yang lebih harmoni dan tersusun.
Ringkasan AI
- Pendekatan berasaskan kapasiti, kelahiran dan kelonggaran atau 3K dicadangkan dalam pelaksanaan kemasukan murid Tahun 1 pada usia enam tahun
- Berbanding pelaksanaan ujian diagnostik terhadap kanak-kanak berusia lima tahun
- Dianggarkan kira-kira 440,000 kanak-kanak akan mencapai usia enam tahun pada 2027 dan memerlukan lebih 12,500 bilik darjah
- Penyediaan bilik darjah, guru terlatih dan fasiliti sokongan merupakan cabaran besar kepada KPM
- Kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun mungkin dilaksanakan secara berperingkat selaras dengan kekangan kapasiti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

