Tingkatkan mutu pendidikan jadi keutamaan, angkat martabat Malaysia - PM

SEMENYIH - Peningkatan mutu pendidikan perlu menjadi keutamaan semua pihak dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan lebih berdaya saing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kemajuan sesebuah negara mustahil untuk dicapai tanpa asas pendidikan yang kukuh merangkumi penguasaan bahasa, matematik, sains serta keupayaan untuk mengadaptasi dengan teknologi baharu.
"Kualiti pendidikan, itu menjadi cabaran kita yang terbesar. Negara ini, kalau mahu angkat martabat, mahu maju, mutu pendidikan mesti diperbaiki, mesti baik penguasaan bahasanya (bahasa Melayu), bahasa Inggeris, bahasa Cina atau bahasa Tamil, mesti baik.
"Fahaman tentang matematik dan sainsnya, mesti baik dari segi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu. Ini yang patut menjadi matlamat kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih di sini pada Selasa.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Seiring dengan matlamat mengangkat mutu pendidikan negara, Anwar berkata, kerajaan mengambil langkah untuk melaksanakan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun secara sukarela bermula tahun depan bagi memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam sistem pendidikan.
Perdana Menteri sekali lagi menegaskan lebih 100 negara telah memulakan persekolahan formal pada usia tersebut dan Malaysia tidak boleh tertinggal dalam usaha membangunkan potensi modal insan.
Sehubungan itu, Anwar menggesa semua pihak termasuk ketua kampung serta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menasihati ibu bapa di kawasan masing-masing untuk merebut peluang di bawah dasar baharu tersebut.
"Jangan ada rakyat kita, sama ada orang di bandar, di kota sama ada Cina, India atau Melayu di kampung dan desa, semuanya harus dikerahkan untuk memanfaatkan kemudahan ini, kalau tidak kita akan ketinggalan.
"Kita tak mampu untuk mewajibkan tahun ini, kalau ikut saya, saya nak wajibkan tetapi Kementerian Pendidikan kata sabar. Baik, jangan wajibkan tetapi saya nak gerakkan. Jangan ada anak kita yang ketinggalan, jadi sebaik mungkin pelajar daftar (untuk masuk Tahun Satu usia enam tahun)," katanya.
Mengulas cabaran menyediakan peruntukan tambahan kira-kira RM800 juta untuk pelaksanaan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun, Perdana Menteri mengulangi komitmen bahawa kerajaan akan berikhtiar mencari penyelesaian bagi memastikan dasar itu dilaksanakan dengan berkesan.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan tersebut diperlukan untuk menampung keperluan pengambilan guru baharu, pembayaran emolumen, penyediaan bilik darjah tambahan serta penambahbaikan kemudahan asas sekolah.
Beliau berkata, usaha mendapatkan peruntukan itu bukan bertujuan berbelanja secara berlebihan, sebaliknya ia merupakan pelaburan penting bagi memastikan setiap kanak-kanak di negara ini mendapat akses pendidikan berkualiti.
"Kita nak ambil (peruntuk) wang ini, hendak bagi anak-anak, bagi guru, nak bayar guru, guru baharu, sediakan bilik-bilik darjah tambahan. Berapa kita perlu, hampir RM1 bilion.
"Boleh cari, kita cari juga sebab kita hendak anak-anak kita merasa nikmat pendidikan yang baik di negara kita. Jadi, untuk tahun ini kita mula dan saya harap ibu bapa beri kerjasama dan galakan," katanya.
Pada 20 Januari lepas, Perdana Menteri ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 mengumumkan bahawa bermula tahun depan, kanak-kanak berusia enam tahun boleh mengikuti pembelajaran Tahun Satu, namun ia tidak diwajibkan dan bergantung kepada ibu bapa. - Bernama
Ringkasan AI
- Peningkatan mutu pendidikan adalah keutamaan untuk menjadikan Malaysia negara maju dan berdaya saing menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim
- Asas pendidikan yang kukuh termasuk penguasaan bahasa, matematik, sains, dan teknologi baru diperlukan untuk kemajuan negara
- Kerajaan mengambil langkah melaksanakan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun secara sukarela bermula tahun depan
- Lebih 100 negara sudah memulakan persekolahan formal pada usia enam tahun, dan Malaysia tidak mahu tertinggal
- Kerajaan berkomitmen mencari solusi pengambilan guru baru dan peningkatan fasilitas pendidikan walaupun memerlukan peruntukan tambahan kira-kira RM800 juta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
