IKM, KKTM dan MJII kini dijenamakan semula sebagai TVETMARA

Ahmad Zahid (empat dari kiri) menyempurnakan Majlis Peluncuran Penjenamaan Semula TVETMARA di TVETMARA Seberang Perai Utara pada Selasa.
Ahmad Zahid (empat dari kiri) menyempurnakan Majlis Peluncuran Penjenamaan Semula TVETMARA di TVETMARA Seberang Perai Utara pada Selasa.
A
A
A

KEPALA BATAS – Semua Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan MARA Japan Industrial Institute (MJII) kini secara rasmi dijenamakan semula sebagai TVETMARA.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Majlis Peluncuran Penjenamaan Semula TVETMARA di TVETMARA Seberang Perai Utara, di sini pada Selasa.

Menurut beliau, penjenamaan semula itu melibatkan 25 institusi TVETMARA di seluruh negara dan bukan sekadar perubahan nama, sebaliknya merangkumi penyelarasan identiti, standard serta kandungan latihan bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri.

“Saya tidak mahu penjenamaan ini hanya pada nama. Yang paling penting ialah kandungan, standard dan kualiti graduan yang kita hasilkan.

"Identiti dan standard TVETMARA mesti disatukan dengan segera bagi meningkatkan keyakinan masyarakat serta industri,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, pendekatan TVET masa kini tidak lagi tertumpu kepada kemahiran konvensional semata-mata.

"Ia sebaliknya memberi penekanan kepada High TVET dan High Skill, khususnya dalam bidang elektrik, elektronik (E&E), kejuruteraan dan teknologi berimpak tinggi.

"Negara memerlukan sekurang-kurangnya 60,000 jurutera, terutama dalam sektor E&E bagi menyokong pembangunan industri dan pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).

“TVET bukan lagi pilihan alternatif, sebaliknya telah menjadi keperluan strategik nasional. Melalui TVETMARA, kita mahu melahirkan bukan sahaja tenaga profesional tetapi juga teknousahawan yang mampu membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan mobiliti sosial,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, kadar kebolehpasaran graduan TVET di peringkat nasional kini mencecah 98.7 peratus, manakala kebolehpasaran graduan IKM mencatatkan 100 peratus, hasil kerjasama rapat dengan pemain industri melalui perjanjian strategik.

Ahmad Zahid turut menyuarakan rasa bangga terhadap pencapaian IKM Seberang Perai Utara yang menjadi satu-satunya IKM memfokuskan kepada bidang elektrikal, selain pelan transformasi institusi tersebut yang akan dijenamakan sebagai National Electrical Energy Specialist Academy (NES).

“Ini adalah satu game changer. Kita bukan sekadar melahirkan tenaga mahir, tetapi melahirkan jutawan dalam bidang teknikal. Tahun ini sahaja, seramai 10 jutawan TVET berjaya dilahirkan,” katanya.

Beliau berkata, laluan pendidikan di bawah TVETMARA disusun mengikut tahap kemahiran dengan GIATMARA diteruskan seperti biasa bagi menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 hingga Tahap 3, manakala Tahap 4 dan Tahap 5 akan berada di bawah TVETMARA.

"Selepas itu, graduan turut mempunyai pilihan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi mengikuti program peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan pengajian kedoktoran (PhD), selain terus memasuki pasaran kerja dengan kelulusan profesional yang berkaitan.

"Peluang turut terbuka luas kepada golongan yang tidak mempunyai kelulusan SPM atau tidak memperoleh kredit sekalipun untuk meningkatkan kerjaya mereka dalam bidang TVET," ujarnya.

Mengulas laluan pendidikan, beliau menjelaskan TVETMARA terbuka kepada pelajar pelbagai latar belakang termasuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), GiatMARA dan kolej vokasional, sekali gus menyediakan ekosistem pendidikan teknikal baharu yang bukan bersifat jalan pintas, sebaliknya laluan kerjaya yang lebih tersusun.

"Saya berharap penjenamaan semula ini dapat mengekalkan pencapaian terbaik serta memperluas peluang graduan melanjutkan pengajian ke tahap lebih tinggi, khususnya dalam usaha kerajaan memenuhi keperluan melahirkan 60,000 jurutera dalam bidang E&E di pasaran.

"Ini bukan jalan pintas tetapi satu ekosistem pendidikan teknikal baharu yang memberi peluang kerjaya luas, gaji premium dan mobiliti sosial secara menegak, khususnya kepada anak-anak luar bandar," ujarnya lagi.

Beliau kemudiannya menegaskan bahawa MARA perlu terus menjadi institusi unggul negara yang berperanan membentuk landskap ekonomi dan sosial, seiring sambutan 60 tahun penubuhan MARA pada tahun ini.

Ringkasan AI

  • Semua IKM, KKTM dan MJII dijenamakan semula sebagai TVETMARA
  • Penjenamaan melibatkan 25 institusi di seluruh negara untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi
  • Penekanan bukan hanya kepada kemahiran konvensional tetapi juga High TVET dan High Skill
  • Kadar kebolehpasaran graduan TVET mencapai 98.7 peratus, manakala IKM 100 peratus
  • Peluang pendidikan TVETMARA terbuka kepada pelajar pelbagai latar belakang dan menyediakan laluan kerjaya yang tersusun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!