Tekanan kerja antara faktor terlibat gaya hidup LGBT - Menteri Agama

Dr Zulkifli Hasan
Dr Zulkifli Hasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelbagai faktor mempengaruhi keterlibatan seseorang dalam gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) termasuk menghadapi tekanan kerja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ia merujuk kepada sebuah kajian tahun 2017 bahawa pengaruh sosial, pengalaman seksual dan faktor peribadi lain turut mempengaruhi seseorang terbabit dengan LGBT.

Menurutnya, kajian ini menekankan bahawa gabungan elemen itu boleh menyumbang kepada perkembangan tindakan LGBT.

"Melihat kajian terdahulu, dapat disimpulkan bahawa keluarga, persekitaran sosial dan kekurangan penghayatan agama adalah faktor utama yang mempengaruhi gejala LGBT.

"Orientasi dan perlakuan seksual seseorang dipengaruhi secara ketara oleh keluarga, persekitaran yang tidak menyokong dan tahap pemahaman dan amalan agama yang rendah," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) yang meminta Perdana Menteri memberikan data dan statistik terkini mengenai trend berkaitan isu LGBT di Malaysia, termasuk pecahan peratusan dan kumpulan umur yang terlibat, serta komposisi etnik berdasarkan kajian nasional atau laporan agensi berkaitan, serta faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes LGBT di negara ini.

Tambah Zulkifli, bagaimanapun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara khususnya tidak memiliki atau mempunyai data dan statistik golongan LGBT di Malaysia.

"Ini kerana penyelidikan mengenai golongan LGBT di Malaysia masih sangat terhad dan terbatas menyebabkan kekurangan data yang komprehensif mengenai jumlah populasi golongan ini," ulasnya.

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Tekanan kerja adalah salah satu faktor keterlibatan dalam gaya hidup LGBT
  • Faktor sosial, pengalaman seksual, dan peribadi mempengaruhi keterlibatan seseorang dalam LGBT
  • Keluarga, persekitaran sosial dan kekurangan penghayatan agama merupakan faktor utama
  • Orientasi dan perlakuan seksual dipengaruhi oleh keluarga, persekitaran yang tidak menyokong dan pemahaman agama yang rendah
  • Penyelidikan mengenai LGBT di Malaysia sangat terhad dan menyebabkan kekurangan data komprehensif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!