Budak dua tahun maut tertinggal 9 jam dalam kereta

SEREMBAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta ibunya selama sembilan jam di Jalan Tunku Hassan di sini pada Selasa.
Wanita berusia 35 tahun itu yang bekerja di sebuah bank di kawasan terbabit hanya menyedari anaknya tertinggal di dalam kereta sebaik mahu pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Seremban, Superintenden Azahar Abdul Rahim berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada orang awam jam 6.15 petang.
"Hasil siasatan awal polis mendapati, mangsa didapati tidak sedarkan diri di kereta jenis Proton Saga.
"Mangsa dipercayai ditinggalkan sejak jam 8 pagi yang mana ibu mangsa terlupa untuk menghantarnya ke rumah pengasuh," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, perkara itu hanya disedari ibunya jam 5 petang setelah selesai waktu bekerja dan mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Tuanku Jaafar di sini.
Ujar beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan ibu mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.
"Orang awam diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada polis IPD Seremban di talian 06-6033222," katanya.

Sementara itu, seorang pekerja kedai pakaian yang ditemui di lokasi berkata, dia bergegas keluar selepas mendengar jeritan wanita dari bahagian belakang premis berkenaan.
“Saya dan rakan segera melihat apa yang berlaku dan dimaklumkan terdapat seorang kanak-kanak yang tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta.
“Ada kata ibu kanak-kanak itu bekerja di sebuah bank di situ dan dipercayai terlupa anaknya tertinggal di dalam kenderaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

