Bendasing disyaki cebisan tikus ditemui dalam sos spageti, suri rumah kecewa maklum balas KKM

PUTRAJAYA – Hasrat seorang suri rumah untuk menyediakan sarapan kepada anak-anaknya terbantut selepas menemui bendasing dipercayai cebisan tikus di dalam sos spageti keluaran sebuah jenama terkenal.
Bercakap kepada Sinar Harian, Rohaniza Nawawi berkata, sos berkenaan dibeli dalam kemasan tin di sebuah pasar raya runcit terkenal berhampiran kediamannya di Kedah, kira-kira tiga minggu lalu.
Menurutnya, bendasing itu disedari ketika beliau sedang mengaut sos tersebut untuk dimasukkan ke dalam mangkuk.
“Saya memasak sos itu seperti biasa sebelum ternampak cebisan bendasing berambut dan berisi di dalamnya,” katanya.
Jelas ibu kepada enam anak itu, meskipun anak-anaknya tidak sempat menjamah makanan berkenaan, beliau mengalami simptom loya dan muntah kira-kira lima minit selepas merasa sedikit sos tersebut.
“Saya tidak mendapatkan rawatan di klinik atau hospital, sebaliknya mengambil ubat herba tradisional dan keadaan saya pulih tidak lama kemudian,” ujarnya.
Susulan kejadian itu, Rohaniza berkata, beliau telah membuat laporan rasmi kepada Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mengemukakan maklumat serta bukti berkaitan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa menerima maklum balas bahawa aduan tersebut berada di luar bidang kuasa PKKM.
Menurutnya, penjelasan itu menimbulkan rasa kecewa kerana isu melibatkan kebersihan makanan sepatutnya diberi perhatian serius.
“Saya mempersoalkan tahap kebersihan kilang syarikat yang beralamat di Petaling Jaya itu dan berharap siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Tambah beliau, alasan yang diberikan seolah-olah mengetepikan hak dan keselamatan pengguna.
“Keadilan kepada pengguna seakan dipandang ringan, sedangkan isu ini melibatkan risiko kesihatan,” jelasnya.
Ringkasan AI
- Seorang suri rumah menemui bendasing seakan cebisan tikus di dalam sos spageti keluaran jenama terkenal
- Bendasing itu ditemui ketika dia sedang mengaut sos untuk dimasukkan ke dalam mangkuk
- Walaupun tidak sempat dimakan oleh anak-anak, suri rumah itu mengalami simptom loya dan muntah setelah merasa sos tersebut
- Dia membuat laporan rasmi kepada Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia
- Claim dia mendapat maklum balas yang mengatakan aduan tersebut berada di luar bidang kuasa PKKM, menimbulkan rasa kecewa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

