Diculik kerana jalin hubungan sulit, polis selamatkan mangsa dalam tempoh 24 jam

Polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga India yang diculik dalam tempoh kurang 24 jam selepas menerima laporan berhubung kejadian itu pada malam Isnin.
Polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga India yang diculik dalam tempoh kurang 24 jam selepas menerima laporan berhubung kejadian itu pada malam Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga India yang diculik dalam tempoh kurang 24 jam selepas menerima laporan berhubung kejadian itu pada malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, laporan dibuat oleh seorang lelaki warga India berusia 30 tahun pada jam 11.08 malam, memaklumkan bahawa rakannya berusia 46 tahun telah dilarikan oleh beberapa individu tidak dikenali dari sebuah hotel di Gelang Patah pada jam 3 pagi hari sama.

Menurutnya, mangsa diculik dipercayai kerana menjalin hubungan sulit dan rakan mangsa turut menerima panggilan daripada suspek sekitar jam 1 tengah hari yang menuntut wang tebusan berjumlah RM5,000 bagi membebaskan mangsa.

“Berdasarkan maklumat dan risikan, polis berjaya mengesan lokasi mangsa dan menyelamatkannya pada jam 12.15 tengah malam di sekitar Gelang Patah.

“Susulan itu, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 26 hingga 32 tahun di Permas Jaya, Johor. Polis turut merampas sebuah kereta, tiga telefon bimbit, satu komputer riba, tiga beg, barangan kemas serta beberapa dokumen penting,” katanya dalam kenyataan.

Hasil semakan mendapati suspek lelaki mempunyai rekod jenayah dan penyalahgunaan dadah manakala ujian air kencing pula mengesahkan kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu.

Tambah Kumarasan, kedua-dua suspek direman selama enam hari, bermula Selasa hingga Ahad, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Sementara itu, polis masih memburu seorang lagi suspek lelaki tempatan dikenali sebagai J Satheswaran, berusia 30 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 363 (culik) dan Seksyen 384 (pemerasan) Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Mohd Ezwady Mat Lajis di talian 016-6833692, 07-5113622 atau Hotline IPD Iskandar Puteri di 07-5114486,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis menyelamatkan seorang lelaki warga India yang diculik dalam kurang 24 jam di Iskandar Puteri
  • Mangsa diculik dan suspek menuntut wang tebusan RM5,000
  • Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan serta merampas barangan termasuk kereta dan telefon bimbit
  • Suspek lelaki mempunyai rekod jenayah dan kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu
  • Polis masih memburu seorang lagi suspek lelaki tempatan untuk membantu siasatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!