'Hilang ibu angkat, 70 ekor kucing, lima anjing sekelip mata'

KOTA BHARU - "Saya kehilangan ibu angkat, 70 ekor kucing dan lima anjing sekelip mata".
Demikian luah Norhaeda Azahari, 51, selepas rumahnya terbakar sekali gus menyebabkan ibu angkat termasuk 70 ekor kucing peliharaannya serta lima anjing liar rentung dalam kejadian di Jalan Tok Guru di sini pada Ahad.
Menurutnya, semasa kejadian dia keluar ke Pengkalan Chepa kerana mempunyai urusan kerja sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon sekitar jam 6 petang memaklumkan tentang kebakaran terbabit.

Apabila sampai, Norhaeda melihat api sedang marak dan terkejut menerima khabar duka yang memaklumkan ibu angkat, Fatimah Mat Said, 89, rentung kerana tidak sempat menyelamatkan diri.
"70 ekor kucing yang dipelihara dan berada dalam sangkar rentung.
"Lima ekor anjing liar yang sering saya diberi makan dan berkeliaran di rumah juga mati," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian.
Jelasnya, ibu angkatnya uzur, matanya kurang nampak walaupun dia boleh berjalan.
"Saya masih terkejut dengan kejadian ini, kerana insan dan semua haiwan kesayangan hilang sekelip mata," katanya.

Mayat Fatimah berjaya dibawa keluar oleh pihak polis dan bomba sekitar jam 8.39 malam selepas operasi memadamkan kebakaran dilakukan.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan seorang wanita warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Tok Guru di sini pada Ahad.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Pegawai Bomba Kanan II, Satyuti Satar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.58 petang.
"Setibanya di lokasi, kami mendapati rumah tersebut sudah hangus sebanyak 98 peratus.
"Seramai 27 anggota dikerahkan untuk operasi memadam kebakaran ini," katanya.

Ringkasan AI
- Norhaeda Azahari kehilangan ibu angkat dan 75 haiwan peliharaan dalam kebakaran di Jalan Tok Guru, Kota Bharu
- Dia tiada di rumah kerana urusan kerja ketika kejadian berlaku
- Ibu angkatnya, Fatimah Mat Said, 89, tidak sempat menyelamatkan diri dan rentung
- 70 ekor kucing peliharaan yang berada dalam sangkar dan lima ekor anjing liar mati dalam kejadian itu
- Operasi pemadaman kebakaran melibatkan 27 anggota bomba dan mayat Fatimah dibawa keluar sekitar jam 8.39 malam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

