KUALA LUMPUR - Bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menjawab pertanyaan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berhubung penghantaran pasukan tentera Malaysia ke Arab Saudi bagi menyertai Ops Yaman 2.  

Hishammudddin berkata, sehubungan itu untuk menimbulkan soal sama ada penghantaran pasukan tentera itu mendapat kelulusan kabinet di bawah kerajaan lalu, Chin Tong sepatutnya faham tentang hal seperti rahsia negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sebagainya.  

Berikut adalah jawapan Hishammuddin berhubung penghantaran pasukan tentera Malaysia itu.  

“(Timbalan Menteri Pertahanan) sepatutnya faham apa maksud rahsia negara, apa maksud Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sebagainya.

“Dia lupa apa dia Majlis Keselamatan Negara. Sebab dia kata tak bawa ke kabinetkan, dia patut tanya pada External Intelligence Research, tanya kepada MKN apa sebenarnya yang kita lakukan tetapi mesti ‘declassify’ maklumat-maklumat kerana ini kepentingan negara.  

"Siasat dengan orang yang betul-betul buat (risikan). Dia tak tahu 763 (pelajar) yang kita selamatkan, itu dia tak cerita....Semua itu rahsia negara. Saya tak boleh dedahkan sekarang… saya profesional, tetapi kalau nak buat (siasatan), gunakan agensi-agensi di bawah mereka sekarang untuk mencari kebenaran, dan bukan bercakap pada khalayak awam,” katanya.

Hishammuddin berkata demikian di lobi Parlimen semasa ditanya mengenai perkara tersebut.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata tentera Malaysia yang ditempatkan di sana juga tidak dilatih untuk bertempur.

"Dalam isu penglibatan kita di Arab Saudi, saya dah jawab berapa kali dalam Dewan, nanti kita boleh edarkan hansard, memang dah ada dalam hansard pun, anggota kita tak ada pun ke Yaman...mereka ditempatkan di Arab Saudi jika sekiranya pelajar-pelajar berkenaan dalam keadaan terhimpit dan mencemaskan, sekurang-kurangnya mereka boleh membantu," katanya

Chin Tong pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat Isnin lalu mempersoalkan sama ada penghantaran tentera negara ini untuk Ops Yaman 2 telah mendapat kelulusan kabinet semasa pemerintahan kerajaan terdahulu.

Chin Tong dilaporkan berkata pada asalnya anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diatur gerak untuk membawa keluar rakyat Malaysia di Yaman, namun diubah kepada misi membantu pakatan ketenteraan Arab Saudi.

Kerajaan Pakatan Harapan menghentikan operasi itu pada 4 Sept lalu dengan menarik balik pasukan ATM di Arab Saudi atas sebab tidak selaras dengan dasar berkecuali Malaysia.

Hishammuddin juga meminta kerajaan melakukan persediaan secukupnya bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia, terutamanya pelajar yang masih berada di negara bergolak Yaman, terjamin.- Bernama