Suami isteri maut motosikal bertembung Hilux

Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan dengan Toyota Hilux di Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu pada Isnin. Foto media sosial
Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan dengan Toyota Hilux di Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu pada Isnin. Foto media sosial
A
A
A

GERIK – [DIKEMAS KINI] Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 96.4 Jalan Kuala Kangsar–Pengkalan Hulu di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, penunggang motosikal jenis Yamaha XMAX, Ahmad Mir Hakim Abdul Haziman, 38, dan isterinya, Nurul Alia Razak, 33, masing-masing bekerja di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

​Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, siasatan awal mendapati sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 35 tahun bersama seorang penumpang sedang dalam perjalanan dari arah bertentangan.

Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan di Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu pada Isnin. Foto media sosial
Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan di Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu pada Isnin. Foto media sosial

​"Apabila sampai di tempat kejadian iaitu di hadapan sebuah kilang kertas, skuter yang dinaiki mangsa dipercayai telah masuk ke laluan Toyota Hilux tersebut lalu berlaku pertembungan.

​"Pada masa sama, sebuah lagi motosikal jenis Yamaha XMAX ditunggang lelaki berusia 37 tahun bersama pembonceng wanita berusia 37 tahun yang berada di belakang motosikal pertama tidak sempat mengelak menyebabkannya terbabas sebelum terjatuh ke dalam longkang di bahu jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Abdul Samad berkata, impak kemalangan tersebut menyebabkan pasangan suami isteri yang menunggang motosikal pertama meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

Keadaan di lokasi kejadian. Foto media sosial
Keadaan di lokasi kejadian. Foto media sosial

​Jelasnya, pemandu Toyota Hilux pula mengalami kecederaan pada tangan kanan manakala penumpang kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara mangsa bagi motosikal kedua pula ​beliau berkata, penunggangnya dilaporkan mengalami patah tulang bahu kanan manakala pembonceng wanita pula patah paha kiri.

​Tambahnya, mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Daerah Gerik untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang cedera kini sedang menerima rawatan di hospital sama.

Jelas beliau, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ringkasan AI

  • Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan dengan Toyota Hilux di Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu
  • Kemalangan berlaku kira-kira jam 2.45 petang
  • Ahmad Mir Hakim Abdul Haziman, 38, dan Nurul Alia Razak, 33, bekerja di Majlis Bandaraya Petaling Jaya
  • Mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah
  • Rakaman dan gambar kejadian kemalangan itu tular di media sosial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!