LIHAS 2026 sasar RM100 juta nilai padanan perniagaan

PUTRAJAYA - Langkawi International Halal Showcase 2026 (LIHAS 2026) menyasarkan nilai padanan perniagaan sebanyak RM100 juta pada penganjuran yang akan berlangsung November depan.
Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LIHAS Sdn Bhd (LIHAS), Shazzwan Shawaluddin berkata, sasaran tersebut ditetapkan sebagai langkah berhati-hati memandangkan edisi kali ini merupakan penganjuran sulung di Langkawi.
“Disebabkan ini adalah debut ataupun yang pertama, jadi kami mengambil langkah yang lebih tenang ataupun selamat dengan jangkakan lebih kurang dalam RM100 juta,” katanya ketika ditemui pada pra pelancaran LIHAS di sini pada Rabu.
Ujar beliau, LIHAS yang berkonsep 'business meets nature' menggabungkan elemen perniagaan dan pelancongan dalam satu platform halal antarabangsa.
"Penganjuran LIHAS di Langkawi untuk mempromosikan negara daripada sektor pelancongan dan halal pada masa yang sama.
“Kita juga bekerjasama dengan pihak industri perhotelan bagi memperkukuh padanan antara halal dan pelancongan,” katanya.
Menurut Shazzwan, setakat beberapa negara telah menyatakan minat untuk menyertai LIHAS termasuk Afrika Selatan, Korea Selatan dan China dengan fokus utama diberikan kepada penyertaan negara ASEAN.
“Penganjuran LIHAS di Langkawi akan diteruskan pada tahun-tahun yang tidak melibatkan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) bagi mengelakkan pertindihan acara,” katanya.
LIHAS yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri berlangsung selama tiga hari bermula 5 November dijangka menghimpunkan kira-kira 800 peserta.
Selain itu ia bakal menampilkan pelbagai pengisian termasuk sesi padanan perniagaan yang dimulakan lebih awal sebelum acara berlangsung, misi perdagangan, demonstrasi masakan, persidangan serta podcast.
Penganjur turut merancang penganjuran kejohanan golf sebagai platform tidak formal bagi memperkukuh jaringan perniagaan dalam kalangan pemain industri.
Ringkasan AI
- Langkawi International Halal Showcase 2026 menyasarkan nilai padanan perniagaan RM100 juta pada November depan
- Ini merupakan penganjuran sulung LIHAS di Langkawi, dianggap sebagai langkah berjaga-jaga
- LIHAS menggabungkan elemen perniagaan dan pelancongan dalam satu platform halal antarabangsa
- Beberapa negara termasuk Afrika Selatan, Korea Selatan dan China telah menyatakan minat untuk menyertai, dengan fokus pada ASEAN
- Acara berlangsung selama tiga hari bermula 5 November dengan 800 peserta dan menampilkan aktiviti seperti sesi padanan perniagaan, misi perdagangan, dan kejohanan golf
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

