Hubungan tulus dengan media kunci tangani krisis komunikasi

KUALA LUMPUR - Pengamal komunikasi korporat perlu membina hubungan tulus dan profesional dengan media sebagai asas penting dalam mengurus isu serta krisis organisasi.
Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libaturus West Coast Expressway (WCE), Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid berkata, media bukan musuh organisasi sebaliknya rakan strategik dalam menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi pandangan pada Konferens Korporat Komunikasi anjuran Comfori yang menghimpunkan Ketua Korporat Komunikasi daripada sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di sebuah hotel di ibu negara pada Rabu.
Menurut Syed Mohammed Idid, masih terdapat pengamal perhubungan awam (PR) yang berasa takut terhadap media kerana bimbang mesej disalah tafsir atau digunakan untuk menjatuhkan organisasi.

“Jika hubungan dibina sejak awal dengan keikhlasan serta saling membantu dari segi maklumat dan pendekatan kemanusiaan, media juga memahami peranan mereka.
“Media adalah manusia dan juga sebuah perniagaan. Mereka tidak sewenang-wenangnya mahu menjatuhkan sesebuah syarikat atau jenama,” ujarnya.
Beliau menegaskan, hubungan media tidak seharusnya terhad kepada editor sahaja, sebaliknya perlu merangkumi keseluruhan hierarki organisasi media termasuk pengarang, wartawan, sub-editor dan jurukamera.
Jelasnya, kebanyakan pengamal PR muda cenderung hanya mahu mengenali editor, sedangkan keikhlasan profesional perlu dibina dengan semua peringkat dalam organisasi media.
Dalam pembentangannya, Syed Mohammed Idid turut menggunakan contoh isu WCE Seksyen 3 Kampung Jawa sebagai kajian kes bagi memberi pemahaman kepada pengamal komunikasi mengenai pendekatan terbaik menangani isu berbangkit.
Beliau berkata, pengamal komunikasi tidak boleh mengambil mudah peranan mereka dengan hanya menumpukan kepada aspek penyampaian mesej semata-mata.
Sebaliknya, mereka perlu menyelami setiap aspek organisasi termasuk operasi, keselamatan, kekangan pasukan teknikal, aspek perundangan dan cabaran kewangan.
“Jika kita tidak memahami setiap pemegang taruh dalaman, sukar untuk membina inisiatif atau kempen yang berkesan kepada pemegang taruh luar seperti media, kerajaan dan agensi,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa bidang perhubungan awam adalah bidang strategik dan bukan sekadar mengurus acara atau hiburan seperti yang sering disalah anggap.
Dalam era kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, tegasnya, pengamal komunikasi perlu bijak memanfaatkan alat media intelligence bagi mengesan isyarat awal sesuatu isu.
Menurutnya, dalam isu WCE Seksyen 3 Kampung Jawa, pelbagai petunjuk awal boleh dikesan melalui media sosial seperti TikTok, sekali gus membantu organisasi menggubal naratif serta hala tuju komunikasi bagi membetulkan persepsi yang tidak tepat.
“Kita mungkin melihatnya sebagai isu negatif, tetapi ia juga peluang untuk membetulkan persepsi yang salah. Mereka mungkin mendapat nasihat yang tidak tepat, namun mereka bukan orang jahat.
“Tugas kita adalah memastikan cerita yang betul sampai kepada umum dengan bantuan media,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Pengamal komunikasi korporat perlu membina hubungan tulus dan profesional dengan media untuk mengurus isu dan krisis
- Media dianggap sebagai rakan strategik, bukan musuh, dalam menyampaikan maklumat
- Masih ada pengamal PR yang takut terhadap media kerana bimbang mesej disalah tafsir
- Hubungan dengan media harus merangkumi keseluruhan hierarki organisasi media, bukan hanya editor
- Penggunaan media intelligence penting untuk mengesan isyarat awal sesuatu isu di era digital
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

