Rasuah RM3 juta, Isa Samad ke tirai besi hari ini

Mohd Isa (tengah) yang memakai kot berwarna kelabu, hadir ke Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Selasa bagi keputusan rayuan pendakwaan berhubung kes rasuah yang dihadapinya.
Mohd Isa (tengah) yang memakai kot berwarna kelabu, hadir ke Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Selasa bagi keputusan rayuan pendakwaan berhubung kes rasuah yang dihadapinya.
A
A
A

PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, diperintah menjalani hukuman penjara selama enam tahun bermula Selasa oleh Mahkamah Persekutuan di sini atas sembilan kes rasuah berjumlah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.

Ini bermakna pemimpin berusia 77 tahun itu akan menyambut Ramadan dan Syawal di sebalik tirai besi.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Nordin Hassan, yang bersidang bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, memutuskan demikian selepas menerima rayuan pendakwaan selaku perayu untuk mensabitkan semula bekas Naib Presiden UMNO itu.

Mendengar keputusan itu, ahli keluarga Mohd Isa yang berada di galeri awam menangis selepas pihak polis membawanya ke lokap.

Mereka juga tidak sempat memeluk bekas veteran UMNO itu sebelum dia dibawa ke Penjara Sungai Buloh. 

Semasa membaca keputusan sebulat suara, Nordin berkata panel mendapati keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan bekas ahli politik itu adalah terkhilaf.

“Kami dapati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah tepat dan selamat. Tiada sebab untuk kami mengganggu keputusan yang mensabitkan Mohd Isa selaku responden atas semua kesalahan berkenaan dan mahkamah ini mengesahkan keputusan itu,” katanya.

Dalam prosiding ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz selaku perayu, manakala peguam M. Athimulan dan Datuk Abu Bakar Isa Ramat hadir bagi pihak responden.

Pada 3 Februari 2021, Mohd Isa dihukum penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan berkuat kuasa selama enam tahun.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Pada 6 Mac 2024, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dilepas dan dibebaskan selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan sabitan serta hukuman berkenaan.

Panel yang dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, kini Hakim Mahkamah Persekutuan, bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S. M. Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mohd Isa.

Susulan keputusan berkenaan, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac 2024 dan petisyen rayuan pada 26 Jun tahun sama dengan mengemukakan 24 alasan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Pendakwaan merayu agar Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 yang mendapati Mohd Isa bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun, denda RM15.45 juta serta penjara 18 tahun sekiranya gagal membayar denda.

Petisyen itu antara lain menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang apabila membatalkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Mohd Isa mengarahkan bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md Arip, untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.

Pihak pendakwaan menyatakan mereka telah mengemukakan bukti bahawa selepas dua pertemuan, Mohd Isa secara tidak langsung mengarahkan Muhammad Zahid untuk meminta rasuah daripada Ikhwan.

Muhammad Zahid kemudian bertindak mengikut arahan berkenaan dengan menyerahkan wang rasuah itu secara berperingkat kepada Mohd Isa.

Pendakwaan turut menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang apabila mendapati wujud keterangan daripada Ikhwan yang menunjukkan Mohd Isa tidak pernah meminta habuan daripadanya dalam dua pertemuan di pejabatnya.

Mohd Isa didakwa pada 2018 atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah GAPSB ketika itu, Ikhwan Zaidel, sebagai balasan meluluskan pembelian MPHS oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
 

Ringkasan AI

  • Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana rasuah RM3 juta berkait pembelian Merdeka Palace Hotel Suites
  • Isa Samad menyambut Ramadan dan Syawal dalam penjara
  • Panel hakim Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Isa Samad
  • Pada 2021, Isa Samad dihukum 54 tahun penjara dan denda RM15.45 juta tetapi semua hukuman penjara berjalan serentak menjadi enam tahun
  • Mohd Isa didakwa terima suapan RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd untuk pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!