China dan Vietnam rekod perkahwinan tertinggi dengan rakyat Malaysia bukan Islam - KDN

Saifuddin Nasution. Foto Bernama
Saifuddin Nasution. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 55,458 perkahwinan membabitkan rakyat Malaysia bukan Islam dengan pasangan warganegara asing diterima Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tempoh 2019 hingga Julai tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, warga China dan Vietnam mencatatkan jumlah tertinggi berdasarkan rekod pendaftaran di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dalam tempoh tujuh tersebut.

Menurutnya, selain China dan Vietnam, tiga negara lain yang berada dalam senarai lima tertinggi ialah Singapura, Thailand dan Indonesia.

"Warga China merekodkan 9,195 perkahwinan dengan rakyat Malaysia yang meliputi 3,030 lelaki dan 6,165 perempuan, diikuti Vietnam dengan 8,620 perkahwinan (semua perempuan), Singapura dengan 8,802 perkahwinan (5,910 lelaki dan 2,892 perempuan), Thailand dengan 5,186 perkahwinan (semua perempuan) dan Indonesia dengan 4,263 perkahwinan (semua perempuan).

"Secara keseluruhan, kelima-lima negara ini menyumbang 36,066 perkahwinan daripada 55,458 perkahwinan pasangan bukan muslim antara warganegara Malaysia dan bukan warganegara," katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang memintanya menyatakan statistik lima negara teratas bagi pengantin warga asing kepada rakyat Malaysia bukan Muslim untuk tempoh tujuh tahun itu.

Dalam pada itu, menjawab mengenai proses penambahbaikan hak kepada pasangan warga asing supaya dapat menampung kehidupan keluarga, Saifuddin Nasution berkata, dasar dan pelaksanaan imigresen negara tertakluk Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, yang memperuntukkan kawalan terhadap kemasukan, keberadaan dan aktiviti warganegara asing di negara ini.

Menurutnya, di bawah Peraturan 11, pasangan warganegara asing kepada warganegara Malaysia layak memohon Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (PLSJP) Kategori Pasangan Warganegara, yang membolehkan mereka menetap secara sah di Malaysia bagi tujuan penyatuan keluarga.

Bagaimanapun katanya, proses tersebut tertakluk kepada syarat, tempoh dan kuasa budi bicara Ketua Pengarah Imigresen Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Secara prinsipnya, PLSJP tidak memberikan kebenaran bekerja secara automatik memandangkan tujuan pas tersebut adalah keberadaan atas asas kekeluargaan dan bukan pekerjaan, selaras dengan Peraturan 9 yang menetapkan bahawa sebarang aktiviti pekerjaan berbayar adalah tertakluk kepada pas pekerjaan yang berkenaan.

"Walau bagaimanapun, sebagai langkah penambahbaikan berasaskan kebajikan keluarga, Kerajaan membenarkan pemegang PLSJP untuk memohon endosmen kebenaran bekerja melalui Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.

Namun katanya, perkara tersebut juga tertakluk kepada penilaian kes demi kes, termasuk aspek keselamatan, latar belakang, jenis pekerjaan serta pematuhan undang-undang imigresen dan buruh. Kebenaran ini diberikan secara bersyarat dan boleh diperbaharui selaras dengan status perkahwinan yang sah.

Ringkasan AI

  • Sebanyak 55,458 perkahwinan membabitkan rakyat Malaysia bukan Islam dengan pasangan warganegara asing diterima JPN dari 2019 hingga Julai tahun lalu
  • Warga China dan Vietnam mencatatkan jumlah tertinggi perkahwinan dengan rakyat Malaysia
  • Selain China dan Vietnam, tiga negara teratas lain ialah Singapura, Thailand dan Indonesia
  • Pasangan warganegara asing kepada warganegara Malaysia layak memohon Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang Kategori Pasangan Warganegara
  • Pemegang PLSJP boleh memohon endosmen kebenaran bekerja melalui Jabatan Imigresen Malaysia, tertakluk kepada penilaian kes demi kes

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!