'Pikul dua peranan serentak boleh jejas tumpuan pemandu kenderaan pelancongan' - King Sing

SHAH ALAM – Pemandu kenderaan pelancongan tidak dibenarkan memikul dua peranan serentak ketika melaksanakan perjalanan persiaran.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan, tugas pemandu adalah mengemudi kenderaan dengan selamat, manakala pemandu pelancong pula bertanggungjawab memberi penerangan dan menjaga kebajikan pelawat sepanjang perjalanan.
“Hal ini kerana keadaan tersebut boleh menyebabkan pemandu gagal memberi tumpuan sepenuhnya ketika mengemudi kenderaan.
“Dalam usaha memajukan industri pelancongan Malaysia, memastikan keselamatan pelancong dan pelancongan yang selamat ialah tanggungjawab yang mesti dipikul bersama.
“Jika didapati berlaku pelanggaran sedemikian, tindakan tegas akan diambil,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, berdasarkan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), mana-mana perjalanan persiaran atau aktiviti pemanduan pelancong, kenderaan yang membawa pelawat bagi tujuan pelancongan hendaklah mempunyai lesen sah.
Menurutnya, aspek keselamatan dan pembahagian tugas secara profesional tidak boleh dipandang ringan, terutama selepas beberapa insiden kemalangan jalan raya melibatkan pelawat asing yang dilaporkan dalam tempoh kebelakangan ini.
Kata beliau, jumlah kemalangan yang meningkat bukan sahaja menjejaskan imej, malah memberi kesan kepada perkembangan industri pelancongan di negara ini.
“Bagaimanapun, mengambil kira keperluan operasi sebenar industri dan situasi pergerakan pelancong antara lokasi yang berbeza, kementerian melalui garis panduan yang dikeluarkan pada tahun 2009 telah memperuntukkan pengecualian tatacara dalam keadaan tertentu melibatkan keperluan menggunakan khidmat pemandu pelancong.
“Pengecualian khidmat pemandu pelancong akan terpakai secara automatik bagi perjalanan 'shuttle' yang hanya melibatkan perkhidmatan pengangkutan dari satu lokasi ke satu lokasi (point-to-point), dengan jumlah pelancong tujuh orang ke bawah, sama ada pelawat tempatan atau asing,” ujarnya.
Ujar beliau, pengecualian tatacara itu tidak merangkumi sebarang bentuk aktiviti persiaran, penerangan atau persinggahan di lokasi tarikan.
“Kenderaan pelancongan yang membawa tujuh orang ke atas bagi tujuan pengangkutan, pengusaha berkaitan hendaklah mengemukakan permohonan kepada Pesuruhjaya Pelancongan melalui Sistem Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan (Sistem TOURLIST) sebelum pengecualian boleh dipertimbangkan,” menurutnya.
King Sing berkata, proses perbincangan antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) mengenai sistem dwi-lesen melibatkan lesen kenderaan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan lesen syarikat pelancongan kini berada pada peringkat akhir.
“Langkah seterusnya adalah untuk memperjelas had pengurusan lesen dan bidang kuasa penguatkuasaan bagi memastikan tanggungjawab yang jelas, piawaian yang seragam serta mengelakkan pertikaian antara pengusaha dan pihak berkuasa akibat perbezaan tafsiran,” katanya.
Ringkasan AI
- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) tidak membenarkan pemandu kenderaan pelancongan memikul dua peranan serentak
- Larangan tersebut bertujuan untuk memastikan pemandu dapat memberi tumpuan penuh ketika mengemudi
- Keselamatan pelancong adalah tanggungjawab bersama dalam industri pelancongan
- Pelanggaran terhadap peraturan ini akan menghadapi tindakan tegas
- Pengecualian tertentu untuk khidmat pemandu pelancong diberikan dalam situasi tertentu seperti perjalanan shuttle bagi tujuh pelancong ke bawah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

