BESUT - Seorang pemuda, Mohd Faizol Lokman, 30, tidak menyangka video rakaman kakaknya, Khaizuraini, 35, ketika mereka berdua menunggang motosikal meredah banjir tersebar luas di laman sosial mencatat 5.3 juta tontonan sehingga petang ini.

Mohd Faizol yang juga mekanik motosikal sambilan dari Kampung Gerung, dekat Kampung Apal, di sini terkejut apabila rakaman yang dibuat kakaknya yang sedang membonceng motosikal mendapat perhatian netizen seluruh  dunia.

Menurutnya, dia mengubahsuai motosikal Honda C70 sehingga berkemampuan ‘menyelam’ dalam air tanpa berdepan sebarang masalah.

“Sebenarnya telah beberapa tahun saya ubah suai motosikal sedemikian terutama ketika ingin bermain air banjir. Masa ubah suai motosikal itu hanya memakan masa sejam sahaja.

“Selepas tidak mahu guna, saya akan buka semula barang yang diubah suai itu menjadi motosikal biasa,” katanya ketika ditemui di rumah Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar di Kampung Gong Lilit malam semalam.

Mohd Faizol berkata, lokasi dia meredah air di dalam video yang tersebar itu adalah di jalan Kampung Gong Cokoh, Pasir Putih, Kelantan yang terletak bersempadan dengan Kampung  Air Terjun, Besut pada Rabu lepas.

Menurutnya, sehari sebelum itu sebaik mengubah suai motosikal dia  meredah air sedalam satu meter di kawasan banjir di Hulu Besut.

“Kakak saya yang bekerja di Kuala Lumpur pulang bercuti dan mengajak saya untuk bermain banjir dan perkara sama kami meredah air dalam pada banjir sebelum ini.

“Kakak saya yang membonceng merakam video gunakan telefon bimbit yang dipegang dengan tripod kemudian dia memasuki lagu Jomblo Happy yang kebetulan sangat sesuai dengan video tersebut sebelum dimuat naik dalam Facebook,” katanya yang mahir memasang siling kapur rumah.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.