Perak tetapkan pendekatan pembangunan jelas bina ekosistem ekonomi

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) melihat buku Prospektus Kee Ming Group Berhad pada majlis pelancaran prospektus syarikat itu pada Rabu. Foto Bernama
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) melihat buku Prospektus Kee Ming Group Berhad pada majlis pelancaran prospektus syarikat itu pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Perak melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 menetapkan satu pendekatan pembangunan jelas dalam membina ekosistem ekonomi yang menyokong pertumbuhan industri bernilai tinggi secara mampan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pendekatan itu menekankan kepastian dasar, pembangunan infrastruktur strategik, tenaga dan teknologi, serta pemerkasaan modal insan sebagai asas daya saing jangka panjang.

"Dalam kerangka ini, sektor kejuruteraan mekanikal dan elektrikal merupakan antara komponen teras yang menyokong peralihan industri, merangkumi sistem elektrik, penyaman udara dan pengudaraan mekanikal, perlindungan kebakaran, infrastruktur tenaga dan kecekapan operasi.

"Kepakaran ini bukan sahaja diperlukan, malah menjadi prasyarat kepada pembangunan industri moden," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Prospektus Kee Ming Group Berhad di AC Hotel by Marriott Ipoh, pada Rabu.

Hadir sama, Menteri Sains dan Teknologi, Chang Lih Kang dan Pengarah Urusan Kee Ming Group Berhad, Ir Liew Kar Ho.

Saarani berkata, Perak kini sedang membangunkan beberapa nod perindustrian strategik yang dirancang secara bersepadu bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri antaranya Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) dan Perak Halal Industrial Park (Perak HIP) di Manjung yang berperanan memacu sektor logistik dan marin.

Katanya, di utara negeri pula, Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan memberi tumpuan kepada industri berasaskan teknologi hijau dan tenaga mampan.

Manakala di selatan Perak, Tanjung Malim terus diperkukuh sebagai hab automotif serantau menerusi pembangunan Automotive High-Tech Valley (AHTV).

"Pembangunan ini tidak boleh berdiri sendiri. Ia memerlukan syarikat tempatan yang mampu menyokong keseluruhan rantaian nilai industri, daripada perancangan dan pembinaan, sehinggalah kepada operasi serta penyelenggaraan jangka panjang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam konteks itu, Saarani berkata kehadiran syarikat seperti Kee Ming Group Berhad adalah signifikan kerana ia membolehkan ekosistem industri negeri berfungsi dengan lebih bersepadu dan berkesan.

"Melalui ekosistem ini, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dapat diwujudkan, pembangunan bakat TVET tempatan dapat diperkukuh dan satu rantaian nilai industri yang berasaskan pengetahuan dapat dibina secara mampan, selari dengan keperluan pasaran semasa dan masa hadapan," katanya.

Kee Ming Group Berhad sebuah firma kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) melancarkan prospektusnya secara rasmi bersempena dengan penyenaraian di Pasaran ACE, Bursa Malaysia.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!