Terengganu bina 60 unit RPMM bernilai RM20 juta bantu rakyat B40 miliki rumah

Wan Sukairi (kanan) menunjukkan RPMM yang akan dibina di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu.
Wan Sukairi (kanan) menunjukkan RPMM yang akan dibina di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan membina sebanyak 60 unit Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Kubang Parit bagi memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana di negeri ini yang belum memiliki kediaman.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek berkenaan akan dibangunkan di atas tanah seluas 1.66 hektar di Kampung Kubang Parit di sini.

Menurut beliau, kesemua 60 unit yang dibina adalah Rumah Pangsa Jenis A melibatkan bangunan lima tingkat, dengan setiap unit berkeluasan 800 kaki persegi serta dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

"Harga jualan ditetapkan pada RM90,000 seunit selaras dengan dasar baharu perumahan mampu milik negeri bagi memastikan ia benar-benar mampu dimiliki oleh kumpulan sasar.

" Ia merupakan sebahagian daripada pembangunan pelbagai fasa oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT)," katanya ketika merasmikan Majlis Pemakluman Projek RPMM Kubang Parit di tapak projek berkenaan, di sini pada Rabu.

Wan Sukairi berkata, projek dianggarkan berjumlah RM20 juta dan ketika ini masih berada pada peringkat perancangan dengan pembinaannya dijangka bermula pada September 2026.

"Tempoh pembinaan dianggarkan mengambil masa dua tahun dan sasaran penyerahan kunci kepada pemilik pada 15 September 2028," jelasnya.

Beliau berkata, syarat kelayakan pemohon ditetapkan kepada isi rumah berpendapatan antara RM1,500 hingga RM4,000 sebulan dengan tempoh pembiayaan sehingga 30 tahun dan anggaran bayaran bulanan RM237.50.

Menurutnya, keutamaan diberikan kepada pemohon yang belum memiliki rumah sama ada atas nama suami atau isteri memandangkan jumlah unit yang ditawarkan adalah terhad.

Artikel Berkaitan:

"Projek ini diharap dapat membantu meringankan beban rakyat, khususnya di Parlimen Kuala Terengganu dan DUN Wakaf Mempelam yang masih ramai belum memiliki kediaman sendiri," katanya.

Selain unit kediaman, projek ini turut dilengkapi kemudahan sokongan termasuk 60 petak letak kereta untuk pemilik, 25 petak pelawat, dua petak OKU, 60 petak motosikal, pejabat pengurusan, pondok pengawal, loji rawatan kumbahan, pencawang elektrik dan kebuk sampah.

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan negeri Terengganu akan membina 60 unit Rumah Pangsa Mampu Milik di Kubang Parit untuk golongan B40 dan sederhana
  • Projek ini melibatkan bangunan lima tingkat dengan setiap unit bersaiz 800 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air
  • Harga jualan setiap unit ditetapkan pada RM90,000 untuk memastikan keterjangkauan oleh kumpulan sasar
  • Pembinaan dijangka bermula September 2026 dengan anggaran penyerahan kunci pada 15 September 2028
  • Syarat kelayakan pemohon adalah isi rumah berpendapatan RM1,500 hingga RM4,000 sebulan, dengan keutamaan kepada pemohon yang belum memiliki rumah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!