Cadangan tukar nama hanya melibatkan satu cabang jalan - Exco

GEORGE TOWN – Cadangan pertukaran nama Jalan Pantai Bersih di Butterworth hanya melibatkan satu jalan cabang sepanjang kira-kira 280 meter yang turut menggunakan nama Jalan Pantai Bersih.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, ia tidak membabitkan Jalan Pantai Bersih utama seperti yang didakwa.
Menurutnya, permohonan itu diterima lebih setahun lalu hasil permohonan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze dan Persatuan Thean Hock Keong.
"Seperti kelaziman, setiap permohonan penamaan atau pertukaran nama jalan akan melalui Jawatankuasa Teknikal Nama Geografi Negeri sebelum dibawa ke Jawatankuasa Nama-Nama Jalan Negeri.
“Dalam penelitian awal, jawatankuasa teknikal telah menangguhkan permohonan ini pada 2024 kerana memerlukan bukti serta maklumat tambahan termasuk penjelasan terperinci mengenai lokasi sebenar jalan yang dicadangkan untuk pertukaran nama,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri di Komtar pada Rabu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Nama-Nama Jalan Negeri berkata, kekeliruan timbul apabila orang ramai menyangka Jalan Pantai Bersih utama yang menghubungkan persimpangan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) ke Jalan Gangsa akan terjejas.
“Hakikatnya, jalan yang dimohon untuk ditukar nama ialah satu cabang Jalan Pantai Bersih, terletak di hadapan Tokong Thean Hock Keong dan bukan laluan utama yang dikenali umum sebagai Jalan Pantai Bersih,” katanya.
Menurut beliau, jalan cabang berkenaan menempatkan beberapa premis termasuk Persatuan Thean Hock Keong, Persatuan Bomba Sukarela Bagan Ajam, Pangsapuri Oren Bagan Ajam, sebuah syarikat kejuruteraan, sebuah medan selera serta kawasan lapang.
“Flat Taman Tun Dr Awang, Flat Taman Pantai Bersih dan kawasan perumahan lain berada di Jalan Pantai Bersih utama dan langsung tidak terlibat dalam sebarang cadangan pertukaran nama,” katanya.
Mengulas cadangan penggunaan nama Dragon Temple Lane, beliau berkata, jawatankuasa mendapati tiada bukti kukuh yang menunjukkan nama tersebut pernah diwartakan atau digunakan secara rasmi dalam sistem alamat dan peta kerajaan.
“Bagaimanapun, kita mendapati nama itu digunakan secara tradisional oleh komuniti setempat sejak dahulu, sama seperti beberapa kes lain di Pulau Pinang yang melibatkan penggunaan nama jalan tidak rasmi dalam dokumen lama,” katanya.
Beliau berkata, sebarang pertimbangan penamaan jalan perlu mematuhi Garis Panduan Penentuan Nama Geografi Malaysia Edisi Ketiga termasuk keperluan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
“Nama seperti Dragon Temple Lane tidak mematuhi garis panduan tersebut namun cadangan dalam bahasa Melayu seperti Jalan Tokong Naga boleh dipertimbangkan kerana mencerminkan unsur sejarah dan identiti setempat,” katanya.
Bagaimanapun, Zairil berkata, tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini kerana pertukaran nama jalan melibatkan implikasi besar kepada penduduk dan premis beralamat di kawasan berkenaan.
“Pertukaran nama bukan perkara mudah kerana ia memerlukan persetujuan penduduk, sesi libat urus serta pengemaskinian dokumen rasmi termasuk kad pengenalan dan alamat premis,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Tokong Thean Hock Keong telah wujud sejak 1951 iaitu sebelum kemerdekaan dan aspek sejarah tersebut turut diambil kira dalam pertimbangan jawatankuasa.
Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jawatankuasa tidak pernah menimbang untuk menukar nama Jalan Pantai Bersih utama dan berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan maklumat tidak tepat.
“Perkara yang dipertimbangkan hanyalah satu cabang jalan di hadapan tokong berkenaan dan bukan laluan utama Jalan Pantai Bersih,” katanya.
Terdahulu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membantah cadangan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng untuk menukar nama Jalan Pantai Bersih di sini kepada Dragon Temple Lane.
Ketuanya, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, AMK Pulau Pinang tidak bersetuju dengan sebarang cadangan menukar nama Jalan Pantai Bersih kerana nama itu sudah sebati dengan penduduk setempat serta mencerminkan identiti, sejarah dan memori kolektif masyarakat di kawasan berkenaan.
Ringkasan AI
- Cadangan pertukaran nama Jalan Pantai Bersih hanya melibatkan satu cabang jalan, bukan laluan utama
- Permohonan pertukaran nama jalan tersebut telah diterima lebih setahun lalu
- Pertukaran nama memerlukan bukti serta maklumat tambahan dan belum ada keputusan muktamad
- Nama alternatif seperti Jalan Tokong Naga dipertimbangkan untuk mencerminkan unsur sejarah dan identiti setempat
- Tokong Thean Hock Keong yang bersejarah terletak di jalan cabang yang dimohon untuk ditukar nama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

